SPRM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dalam pendedahan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa ada orang cuba merasuah baginda bagi mendapatkan darjah kebesaran ‘Tan Sri’.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah memperoleh maklumat yang berkaitan daripada baginda dan telah mengenal pasti individu yang terlibat.

“Dalam menjunjung titah baginda, SPRM akan memastikan siasatan yang telus dijalankan berkenaan perkara ini dan tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM amat menyanjung tinggi sokongan penuh baginda kepada SPRM dan komitmen berterusan baginda dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini dan secara amnya Johor.

Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM telah menghadap Sultan Ibrahim di ibu negara berhubung pendedahan itu.

Sabtu lepas, menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Ikandar @offcialsultanibrahim bertitah baginda mahu SPRM menghadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.

Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.