Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR – Bekas ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin menyanggah penafian Rafizi Ramli berhubung isu dana kepada parti daripada seorang individu bernama John Soh dan mendedahkan jutawan itu sebenarnya penyumbang dana terbesar kepada parti pembangkang tersebut.

Badrul Hisham atau Chegubard mendesak supaya kepimpinan PKR terdahulu dan sedia ada menjelaskan adakah benar sejumlah RM26 juta wang daripada individu itu diberikan kepada parti.

“Datuk Zaid Ibrahim, Rafizi, Nurul Izzah, Datuk Saifuddin Nasution harus tampil menjelaskan adakah benar John Soh memberikan wang sebegitu banyak dengan jumlah hampir RM26 juta kesemuanya.

“Malah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) juga perlu tampil kerana dikaitkan menerima dana yang jauh lebih besar dari nama yang disebut sebelumnya,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini di blognya.

John Soh kini sudah tidak boleh dihubungi kerana sedang meringkuk dalam penjara Singapura.

Badrul Hisham kemudiaan mendedahkan hubung kait John Soh dengan PKR secara terperinci, malah mengenali individu tersebut secara peribadi.

“Siapa dia John Soh? Jujurnya, saya kenal John Soh secara peribadi. Saya pernah beberapa kali duduk bersama untuk makan tengahari, minum petang dan naik kereta bersama ketika saya menjadi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

“Peranan John Soh pada satu ketika dalam ‘circle Anwar’ amat kuat sehingga dia pernah beberapa kali hadir dan duduk dalam mesyuarat MPP PKR. Perkara ini saya pernah tegur secara terbuka dalam mesyuarat kerana bagi saya MPP ialah medan tertinggi PKR dan seharusnya tidak terbuka kepada kawan-kawan nak hadir suka-suka.

“Selepas itu Anwar secara peribadi memanggil saya meminta saya memahami keadaan kerana kononya John Soh punya ‘networking’ tertentu yang sangat diperlukan bagi strategi politik pada ketika itu. Malah selepas teguran saya John Soh secara rasmi dilantik sebagai anggota Biro Politik bagi menghalalkan kehadiran beliau dalam semua mesyuarat parti,” katanya lagi.

Menurut Badrul Hisham, memang bukan misteri, John Soh menjadi penyumbang kepada PKR.

“Seingat saya sebahagian besar perbelanjaan menyiapkan pengubahsuaian Ibu Pejabat Parti ketika itu ditanggung John Soh, malah ketika Datuk Salehuddin Hashim menjadi Setiausaha Agung PKR kertas cadangan menyiapkan pejabat PKR negeri seluruh negara diajukan kepada John Soh dan John Soh bersetuju menyumbang dana.

“Ketika itu imej dan pengurusan perjalanan pengurusan PKR sangat berimej korporat dan sangat baik,” ujarnya.

Beliau kemudiaan mengimbau kembali semasa zaman Zaid Ibrahim berada dalam PKR di mana beliau rapat dengan John Soh tetapi Anwar kemudiaan memberikan arahan yang pelik kepadanya supaya mengalihkan sokongan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa pemilihan parti bagi jawatan timbalan presiden.

“Zaid Ibrahim masuk PKR dan dia kemudian rapat dengan kelompok ‘circle Anwar’ sebelah John Soh ini. Namun Anwar punya karakter yang pelik, Zaid Ibrahim diherokan sehinggalah ketika pemilihan parti 2010 ketika Zaid membuat keputusan melawan Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden tiba-tiba Anwar memanggil saya dan meminta saya menyokong Azmin kononnya kerana katanya Zaid Ibrahim sedang dibantu (didanai) oleh orang yang rapat dengan Daim (Tun Daim Zainuddin) dan Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) bagi mengambil alih PKR.

“Saya berhujah sehingga mengheret nama John Soh, yang mana saya sebut ketika saya mempersoalkan kenapa John Soh hadir dalam mesyuarat majlis tertinggi Anwar sendiri memanggil dan meminta saya yakini bahawa John Soh ikhlas mahu menjatuhkan BN (Barisan Nasional),” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.