Gamuda Land menjelaskan mengenai punca banjir kilat.

KUALA LUMPUR – Gamuda Land menjelaskan banjir kilat yang berlaku di Kampung Sungai Serai, Kuang, Selasa lalu berpunca daripada projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Sebaliknya, menurut jurucakap syarikat pemaju itu, ia berpunca daripada kegagalan Sungai Serai menampung purata hujan lebat yang berlaku pada hari berkenaan dan sebelumnya pada Ahad lalu, menyebabkan berlaku limpahan air sungai.

Katanya, banyak kawasan di Lembah Klang juga mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat pada hari itu.

“Banjir kilat yang dilaporkan berlaku di Kampung Serai baru-baru ini disebabkan hujan lebat pada Ahad dan Selasa, yang menyebabkan air dari Sungai Serai melimpah tebing.

“Sungai Serai tidak dapat menampung air hujan yang menyebabkan airnya melimpah dan kejadian banjir kilat bukan berlaku hari ini, malah dilaporkan sejak tahun lalu lagi,” katanya kepada MalaysaGazette di sini, hari ini.

Pemaju itu mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus semalam, yang dilaporkan, mahu pemaju projek pembangunan Gamuda Gardens bertanggungjawab dengan kejadian banjit kilat di kawasan itu, kelmarin.

Kata Abdul Shukur, berikutan banjir itu, aktiviti penduduk setempat di kawasan DUN Kuang terjejas teruk, selain mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat barangan keperluan rosak.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, sebagai pemaju yang bertanggungjawab, Gamuda Land amat prihatin dengan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.

Oleh itu, katanya, pihaknya berperanan untuk membantu masyarakat di kawasan berkenaan bagi mengurangkan ketidakselesaan mereka.

“Kita telah mengerahkan pekerja untuk membantu penduduk seperti membersihkan jalan berlumpur, mengeluarkan pokok yang tumbang menghalang jalan raya, membersihkan rumah mereka dan memindahkan barang perabut serta isi rumah,” katanya.

Dalam pembinaan pembangunan, katanya, Gamuda Land telah mematuhi peraturan termasuk yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini termasuk melaksanakan Pelan Pengawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) dengan membina lembangan pemendapan, pagar kelodak, empangan dan kolam takungan yang bertujuan untuk untuk mengurangkan banjir di kawasan itu.

“Pihak kami juga sedang dalam peringkat menyediakan saliran tambahan dan memantau sebarang keperluan mengikut peraturan dalam pembangunan,” ujar beliau.

Kata jurucakap itu lagi, Gamuda Land dikenali sebagai salah satu daripada syarikat pembangunan hartanah terkemuka di negara ini yang mempunyai rekod baik sekian lama untuk kepentingan orang ramai dan pelanggannya.

“Pihak kami kekal komited untuk bekerjasama dengan masyarakat dan pihak berkuasa untuk memastikan pembinaan pembangunan ini tidak mengganggu aktiviti seharian masyarakat sekeliling,” katanya. – MalaysiaGazette