PARIS – Polis tempatan hari ini menggeledah sebuah rumah di pinggir bandar bahagian timur bagi memburu suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan ke atas anggota polis di Champs-Elysees.

Merujuk kepada dokumen polis, alamat di bandar Chelles itu merupakan milik keluarga Karim Cheurfi, 39, yang mempunyai rekod polis.

Terdahulu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan suspek utama serangan merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun dari kawasan pinggir bandar di timur Paris.

Memetik laporan The Associated Press (AP), pita garisan polis kelihatan di kawasan kejiranan golongan kelas pertengahan di Chelles awal hari ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk yang terkejut dengan serbuan itu.

Salah sebuah akhbar tempatan Paris pernah melaporkan Karim pernah disabitkan kesalahan jenayah, menyerang anggota polis pada 2001.

Terdahulu, kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tembakan di Paris yang mengorban seorang pegawai polis dan dua lagi cedera parah.

Dalam satu kenyataan menerusi agensi berita Amaq, kumpulan ekstremis itu memberi nama samaran kepada penembak dengan membayangkan dia adalah warga Belgium – Agensi