Pekerja kesihatan Palestin menggali mayat dalam kubur besar di perkarangan Hospital Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, pada 21 April. FOTO: BLOOMBERG

GAZA – Jumlah mayat yang ditemui dalam kubur besar di perkarangan sebuah hospital di sini bertambah kepada 392 berbanding 283 sebelum ini.

“Ini adalah kubur besar-besaran terbesar sejak permulaan perang,” kata Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, sebuah jabatan mencari dan menyelamat dalam wilayah yang dikuasai Hamas baru-baru ini l sebelum menggesa penyiasatan antarabangsa dilakukan.

Analisis New York Times (NYT) ke atas video media sosial dan imejan satelit mendapati rakyat Palestin telah menggali sekurang-kurangnya dua daripada tiga tapak pengebumian beberapa minggu sebelum tentera Israel menyerbu kompleks tersebut.

Pihak berkuasa Gaza berkata, kubur besar telah digali di kawasan hospital sebelum serbuan Israel di sana pada Februari tetapi menuduh Israel kemudiannya membuka tapak baharu untuk menambah mayat.

Tidak jelas bila mayat-mayat ini dikebumikan di kompleks perubatan Nasser di bandar selatan Gaza dekat Khan Younis.

Walaupun NYT tidak dapat menentukan punca kematian individu, pengebumian awal dipercayai berlaku pada bulan Januari dan Februari di tengah-tengah serangan Israel selama berminggu-minggu di bandar itu.

Israel pada 25 April menafikan tuduhan ia bertanggungjawab menggali kubur di kompleks itu tetapi sebelum ini Israel berkata ia telah membukanya (kubur) dalam usaha mencari mayat tebusan yang diculik ke Gaza.

“Maklumat salah tersebar mengenai kubur besar yang ditemui di hospital Nasser di Khan Younis. Kubur berkenaan telah digali oleh penduduk Gaza beberapa bulan lalu.

“Fakta ini disokong oleh dokumentasi media sosial. Sebarang percubaan untuk menyalahkan Israel kerana mengebumikan orang awam dalam kubur besar-besaran adalah palsu dan hanya contoh kempen salah maklumat yang bertujuan untuk menyahlegitimasi Israel,” kata Mejar Nadav Shoshani, jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan.

Dalam kekacauan perang selama enam bulan, sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Palestin untuk mengebumikan orang mati di kawasan hospital, halaman belakang dan tempat lain, selalunya secara tergesa-gesa dan tanpa upacara.

Pusat perubatan sering menjadi tempat pertama penduduk yang dipindahkan akibat pengeboman Israel berlindung, dan kawasan yang menempatkan beribu-ribu khemah sementara.

Pegawai Israel berkata bahawa pusat perubatan telah menjadi tumpuan serbuan kerana pejuang Hamas membenamkan diri mereka di dalam dan di bawah kemudahan dan ia adalah satu-satunya cara untuk membasmi kumpulan bersenjata itu.

Hamas dan pekerja perubatan telah menafikan tuduhan ini.

Kumpulan bantuan, penyelidik dan badan antarabangsa semakin menggelar pembongkaran kapasiti perubatan Gaza oleh Israel sebagai “bersistematik”.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan dua tapak dengan beberapa kubur besar telah digali di kompleks perubatan Nasser, dan mayat dikebumikan mulai Januari.

Imej satelit menunjukkan kubur besar yang pertama digali oleh penduduk Palestin di bawah pokok palma di bahagian selatan kompleks itu diganggu oleh tentera Israel, termasuk dengan jentolak, menimbulkan spekulasi bahawa Israel menggali dan menanam semula mayat.

Tetapi tidak jelas sama ada tentera Israel menggali kubur baharu atau menambah mayat. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast