Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia mendakwa Israel enggan berkerjasama bagi tujuan keamanan di Gaza selepas melakukan serangan beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata.

Gencatan senjata itu dicapai daripada rundingan damai yang dibuat oleh Mesir dan Qatar.

Lantaran itu, Malaysia melalui Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri berkata, Israel patut menerima kecaman keras daripada masyarakat antarabangsa kerana bertekad untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang terkini ke atas Rafah di Gaza pada 6 Mei 2024 yang menyebabkan 19 orang terbunuh, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Palestin.

“Serangan berterusan ke atas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Israel IOF, khususnya di Rafah, Gaza, adalah amat zalim, terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem-kem yang sangat padat dan kini menjadi benteng perlindungan terakhir dari pencerobohan Israel,” katanya.

Sehubungan itu, masyarakat antarabangsa mesti menggandakan usaha untuk memastikan rejim Israel menghentikan tindakan jenayahnya yang disengajakan, dan dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia
antarabangsa. – MalaysiaGazette