Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, institusi Raja atau dalam konteks Kerajaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pancaran kepada ‘pemeribadian atau jati diri negara’.

Katanya, Yang diPertuan Agong sebagai cerminan dan jelmaan, yakni manifestasi kepada ‘adicita’ atau ideologi Rukun Negara yang menjadi asas kepada sebuah negara bangsa, makmur dan merdeka.

“Sesungguhnya, institusi Yang diPertuan Agong ini adalah unik kepada Malaysia, kerana ia bukanlah amalan di negara-negara beraja lain di dunia. Ia tidak melalui sistem undian oleh rakyat dan bukan juga diwarisi secara keturunan.

“Institusi ini, tidak lain dan tidak bukan menjadi kesinambungan kepada tradisi pemerintahan Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman,” katanya semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara hari ini.

Kata Najib, Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia juga amat tertib menurut lunas-lunas yang ditetapkan, di atas roh juga semangat bahawa raja dan rakyat berpisah tiada.

Dalam sembah ucapannya, perdana menteri turut menyembah maklumkan keadaan semasa negara terutamanya mengenai Dasar Transformasi Nasional yang menjadi pemangkin untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Menerusi Program Transformasi Nasional, Najib berkata laporan tahunannya bagi kali keenam sebelum penghujung bulan ini, telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan daripada badan-badan piawaian peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, meskipun negara tidak lari daripada berdepan dengan kesuraman ekonomi global, akan tetapi, menurut Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi Malaysia, mudah-mudahan akan berkembang pada kadar 4.3 peratus bagi tahun 2017.

“Malah, pada minggu lepas pula, patik selaku Perdana Menteri, bagi pihak Kerajaan Tuanku, telah melancarkan satu lembaran baharu kepada Dasar Bumiputera, setelah 45 tahun Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh allahyarham ayahanda patik, Tun Haji Abdul Razak pada tahun 1971,” katanya. – MalaysiaGazette