Najib Razak menandatangani papan pelancaran Larian Bendera UMNO 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Dalam menyemarakkan sambutan ulangtahun ke 71, UMNO hari ini melancarkan program Larian Bendera UMNO melihatkan seluruh negeri.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di perkarangan Menara Dato ‘Onn, Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).

Hadir sama, Naib Presiden yang memangku jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Rahman dan Ketua Sayap Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sambutan seluruh negara ini akan dimulakan dengan larian bendera di seluruh negara secara empat penjuru iaitu bermula di Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah.

Bendera UMNO diserahkan Najib kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri yang kemudiannya akan diserahkan pula kepada Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri dalam larian berkenaan bermula 2 Mei depan dan berkumpul semula di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi sambutan parti itu pada 11 Mei depan.

Selain larian bendera, acara sukan UMNO juga akan diadakan di peringkat negeri-negeri seperti acara sukan bola sepak, bola jaring, bowling dan sebagainya.

Malah sambutan ulang tahun UMNO kali ini punya sedikit kelainan apabila orang ramai boleh menyertai cabutan bertuah yang menawarkan enam buah kereta dan 10 buah motosikal sebagai hadiah dengan syarat mereka mestilah ahli UMNO dan telah mendaftar sebagai pengundi.

Hampir 200,000 ribu ahli dan penyokong UMNO dijangka membanjiri sambutan hari ulang tahun UMNO ke-71 nanti.

Ini adalah merupakan sambutan besar-besaran menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Sambutan kemudian akan tertumpu di Stadium Bukit Jalil pada 10 dan 11 Mei dengan pelbagai program dan karnival berbentuk jualan dan hiburan diadakan.

Selain larian bendera UMNO, setem keluaran khas daripada Pos Malaysia mengenai sambutan 71 tahun UMNO turut dilancarkan. – MalaysiaGazette