Tinjauan udara mendapati projek bandar baharu di atas tanah seluas 2,700 ekar di Paya Indah Wetlands, Dengkil menarik minat syarikat gergasi Gamuda Bhd. disebabkan ia bersebalahan dengan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (NSECL) atau Lebuhraya ELITE.

SUBANG – Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meluluskan projek pembangunan bandar baru di Paya Indah Wetlands didakwa merupakan satu perbuatan jenayah besar kepada alam sekitar.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, kerajaan negeri perlu menghentikan segera pembangunan berkenaan kerana bakal memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

“Kami lihat pemandangan dari atas, untuk membuat bandar baru itu, terpaksa mengambus paya-paya berkenaan. Apabila paya-paya itu dikambus dengan tanah, di manakah selepas ini air hujan di kawaasan Lembah Klang dan terbabit akan disalurkan.

“Walaupun ada alternatif lain akan disalurkan ke Sungai Langat, di mana sungai ini pun sering banjir termasuk Kajang.

“Kami rakan-rakan NGO mengadakan mesyuarat tadi menganggap kelulusan kerajaan ini sebagai satu jenayah besar kepada alam sekitar di Selangor ini. Kami akan terus mendesak supaya perkara ini dihentikan atau diberikan penelitian yang khusus,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan dari udara di sekitar kawasan Paya Indah Wetland, Dengkil, hari ini.

Jamal Md Yunos membuat tinjauan udara bersama sekumpulan media menggunakan dua helikopter dari Subang Skypark Terminal, Subang,
Jamal Md Yunos membuat tinjauan udara bersama sekumpulan media menggunakan dua helikopter dari Subang Skypark Terminal, Subang.

Rabu lalu, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mendakwa, Kerajaan Negeri Selangor menggadaikan kawasan tadahan hujan Paya Indah Wetlands kepada Gamuda Bhd. semata-mata demi memperoleh dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak RM3 bilion.

Jamal berkata, untuk tujuan itu, Mohamed Azmin perlu meluluskan projek pembangunan bandar baharu di kawasan yang bernilai RM30 bilion itu.

Mengulas lanjut, Jamal juga membantah sekeras-kerasanya pembangunan bandar baharu berkenaan sedang ia merupakan kawasan paya yang pernah diwartakan sebagai kawasan tadahan hujan ketika Barisan Nasional memerintah Selangor.

“Kawasan paya itu perlu dikekalkan dan tidak boleh diusik. Hari ini kawasan itu diberikan kepada sebuah syarikat untuk dijadikan sebagai bandar baru seluas 2,700 ekar. Kita minta kerajaan negeri menarik balik kelulusan tersebut untuk dikekalkan kawasan itu sebagai kawasan warisan untuk generasi akan datang,” tegasnya.

Beliau turut mengulangi persoalan tentang dakwaan kelulusan projek bandar baharu itu demi imbuhan RM3 bilion kepada kerajaan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Saya mempunyai dokumen-dokumen tersebut dan saya akan dedahkan dalam waktu terdekat. Sebelum ini ada kertas laporan, saya melihat sendiri dokumen penolakan kelulusan tersebut daripada alam sekitar.

“Kami juga merayu kepada syarikat Gamuda untuk memikirkan kesan kepada alam sekitar daripada memikirkan keuntungan semata-mata. Banyak lagi projek Gamuda yang sedang berjalan, kenapa perlu merobek kawasan tadahan hujan atau warisan ini yang telah diwartakan sekian lama untuk dibangunkan,” katanya.

Tambahnya, kegagalan kerajaan negeri untuk menarik balik kelulusan berkenaan akan menyebabkan Putrajaya dan kawasan berdekatan Paya Indah Wetlands ditenggelami dengan banjir.

“PRU tak lama lagi, sebab itu mereka menjalankan projek ini tanpa memikirkan kesan untuk jangka panjang dalam Selangor dan Putrajaya kerana bersebelahan kawasan ini.

“Putrajaya akan mengalami kesan banjir selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette