Mahfodz Mohamed menyampaikan ucapan pada Muktamar Tahunan Pas ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2017.

ALOR SETAR – Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr. Mahfodz Mohamed menyifatkan muktamar kali ini sebagai paling aman dan damai.

Ini kerana, katanya, sepanjang muktamar tidak ada suara sumbang mengkritik dewan ulamak.

Kata beliau, bukan bermakna DUPP tidak menerima teguran, tetapi biarlah dengan keikhlasan bukan hentam sembarangan.

“Sikap keterbukaan dewan ulamak ini terbukti apabila kita turut menerima secara terbuka teguran daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

“Mereka (DHPP) memberi teguran yang membina. Teguran untuk mengukuhkan parti dan menambah sokongan kepada parti, bukan teguran yang meruntuhkan parti,” katanya berucap pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Kompleks Pas Kota Sarang Semua dekat sini, hari ini.

Mengenai tahaluf siyasi, Mahfodz yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua DUPP bagi penggal 2017-2019 berkata, gesaan memutuskan hubungan itu dibuat pada muktamar 2015.

“Pada muktamar itu (2015), Dewan Ulamak minta Majlis Syura Pas kaji tahaluf siyasi dan muktamar hari ini semua dewan ikut langkah kita. Mereka mahu Pas Pusat kaji semula.

“Kita bukan ambil masa pendek, kita fikir semasak-masaknya sehingga dua tahun untuk akhiri tahaluf, bukan saja dengan parti bukan Islam, tapi parti Islam seperti PKR,” katanya.

Beliau menyeru kepada golongan alim ulamak supaya dapat memberi pencerahan mengenai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) kepada ahli dan masyarakat pelbagai akar politik. – MalaysiaGazette