Keadaan di dalam dewan semasa perbahasan sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 30 APRIL 2017

ALOR SETAR – Muktamar Tahunan Pas kali ke-63 yang berlangsung di Kompleks Pas Kota Sarang Semut berakhir dengan semua perwakilan, pemerhati dan pimpinan tiga sayap dewan menghela nafas lega.

Bukan lega kerana dapat keluar dari dewan muktamar yang serba kekurangan, tetapi puas hati kerana hasrat mereka untuk melihat parti terputus hubungan dengan rakan terakhir tahaluf siyasi, PKR menjadi kenyataan.

Pada 2015, Pas mengambil keputusan drastik keluar dari Pakatan Rakyat (PR) kerana bertelagah dengan DAP yang menentang usaha Pas hendak memperkasakan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (RUU355).

Dalam pertelagahan itu, DAP menarik diri dari gabungan PR untuk menubuhkan Pakatan Harapan (PH) dengan PKR dan pada masa sama PKR turut kekal dengan Pas dalam PR.

Bagaimanapun, usia hubungan kedua parti itu juga tidak kekal apabila Pas memutuskan untuk berseteru dengan PKR yang satu-satunya rakan sebilik selepas bercerai dengan DAP.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil masa dua tahun membuat keputusan itu.

Walaupun sakit, Pas redha dengan keputusan itu kerana tidak sanggup lagi tidur sebantal dengan rakan yang suka menikam dari belakang.

Tambahan pula, kali ini DUPP tidak bersendirian dalam mengemukakan usul bercerai dengan PKR tidak seperti pada muktamar ke-61 di Kuala Selangor dua tahun lalu.

Kali ini turut mendesak Pas memutuskan hubungan dengan PKR ialah Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) dan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP).

Tiga keputusan ini tidak memberi laluan sukar kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersama Majlis Syura Ulamak membuat keputusan muktamad hubungan itu.

Semua ini bermula dengan unsur ‘makan dalam’ oleh golongan profesional dan liberal dalam Pas, yang lebih suka bersengkokol dengan DAP.

Namun, tindakan bijak pimpinan akar umbi menyingkirkan semua ‘anai-anai’ itu, meletakkan Pas kini tampil dengan imej bersih dari golongan talam dua muka.

Pas kini tidak perlu memikirkan soal pembahagian kerusi pilihan raya dengan sesiapa lagi.

Pas boleh meletak calonnya di mana-mana kerusi yang mereka mahu, sama ada di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Pas hanya berhasrat hendak bertanding di 80 kerusi Parlimen, selain mahu merampas Perak, Kedah, Terengganu dan Pahang.

Dapatkah Pas menterjemahkan impiannya itu? Keputusan ada di tangan kepimpinan pusat, negeri dan kawasan.

Yang penting, Pas sudah memutuskan hubungannya dengan PKR.

Soal kedudukan tiga anggota Exconya di Selangor akan dibincangkan kemudian. -MalaysiaGazette