KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung kematian pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha, perlu disusuli langkah pencegahan yang lebih menyeluruh bagi memastikan isu buli dan kebencian berasaskan kaum tidak berulang dalam kalangan murid.
Itu kata Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia, Datuk N Sivakumar.
Beliau berkata, tragedi membabitkan pelajar Tingkatan Dua dari SMK Danau Kota itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai sejauh mana sistem sedia ada mampu mengenal pasti risiko dan melindungi murid yang berdepan tekanan atau gangguan.
Keziah meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya kelmarin, dengan laporan mengenai dakwaan unsur buli termasuk ejekan berbaur perkauman turut menjadi perhatian masyarakat.
Bagaimanapun, punca sebenar kematiannya masih perlu ditentukan melalui siasatan.
Menurut Sivakumar, sebarang dakwaan berkaitan buli tidak wajar dijadikan kesimpulan awal, namun ia perlu diberi perhatian serius kerana sekolah merupakan persekitaran utama dalam pembentukan emosi dan sosial seseorang kanak-kanak.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan tindakan susulan bukan hanya tertumpu kepada kes berkenaan, tetapi turut melihat sama ada terdapat kelemahan dalam mekanisme pengesanan awal, pelaporan dan intervensi terhadap murid yang berisiko.
“Jika terdapat kelemahan dalam mengenal pasti tanda awal atau menangani aduan murid, kelemahan itu perlu diperbaiki.
“Kita perlu memastikan sistem yang ada benar-benar berfungsi sebelum sesuatu perkara menjadi lebih serius,” katanya kepada MalaysiaGazette pagi ini.
Sivakumar berkata, guru dan pihak sekolah juga perlu diberikan sokongan serta latihan yang sesuai untuk mengenal pasti perubahan tingkah laku, tekanan emosi atau tanda seseorang murid sedang berdepan masalah yang memerlukan perhatian.
Beliau turut mengingatkan isu kebencian berasaskan kaum perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana kanak-kanak dan remaja turut terdedah kepada kandungan media sosial serta bahasa yang digunakan dalam persekitaran mereka.
Katanya, penghinaan berkaitan warna kulit, keturunan atau kaum tidak seharusnya dinormalisasikan sebagai gurauan kerana apa yang dianggap kecil oleh orang dewasa boleh memberi kesan berbeza kepada golongan muda.
“Anak-anak kita belajar daripada apa yang mereka lihat dan dengar.
“Andai ‘bahasa kebencian serta penghinaan dinormalisasikan’ dalam masyarakat, media sosial atau wacana awam, kita perlu sedar bahawa ia boleh mempengaruhi cara mereka berinteraksi sesama sendiri,” tegasnya.

Dalam masa sama, Sivakumar menggesa masyarakat tidak menyebarkan maklumat belum disahkan atau membuat tuduhan ketika siasatan masih berlangsung kerana ia boleh menjejaskan keluarga mangsa serta proses mencari kebenaran.
Beliau berkata, isu agama, Raja dan kaum (3R) juga perlu ditangani secara bertanggungjawab, dengan semua pihak memainkan peranan memastikan perbezaan tidak dieksploitasi sehingga mencetuskan kebencian dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan itu, katanya, KPM, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlu menggunakan tragedi Keziah sebagai pengajaran untuk memperkukuh sistem perlindungan murid, termasuk mekanisme aduan, intervensi awal dan sokongan kepada pelajar yang berdepan tekanan.
“Kita mahu kebenaran terungkai melalui siasatan dan pada masa sama memastikan ada pengajaran yang boleh diambil.
”Matlamat akhirnya ialah supaya sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk setiap anak Malaysia, tanpa mengira kaum atau latar belakang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
KPM arah siasatan dalaman segera susulan kematian pelajar sekolah di KL
















