Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menyelesaikan siasatan dalaman dengan segera susulan pemergian seorang pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Pendidikan berkata, Fadhlina Sidek berkata, segala perkara yang menjadi kebimbangan awam, termasuk dakwaan berkaitan buli dan unsur perkauman, perlu dipandang serius serta ditangani segera berdasarkan fakta dan proses yang sewajarnya.

“Ingatan dan simpati saya terus bersama keluarga dan warga sekolah rentetan pemergian anakanda kita, pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Hari ini, saya telah mengarahkan Jemaah Nazir, PPD dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyelesaikan siasatan dalaman dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak polis selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perkara berkenaan ditangani secara menyeluruh.

Dalam pada itu, perhatian dan sokongan turut diberikan kepada keluarga, murid, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan.

Katanya, keluarga pelajar berkenaan telah menerima sokongan psikososial daripada pasukan kaunselor KPM, manakala guru diberikan penerangan berkaitan proses siasatan dan perundangan yang sedang berlangsung.

“KPM juga memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, Smart Support Team KPM turut digerakkan bagi menyediakan sokongan psikososial dan intervensi krisis kepada murid yang terkesan.

Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan kebajikan serta kesejahteraan emosi murid terbabit terus terpelihara.

“Keutamaan kita adalah memastikan keadilan kepada semua pihak dan mengambil langkah yang wajar supaya persekitaran pendidikan kekal selamat dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku buli serta diskriminasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here