Sesi fotografi bersama penyanyi, Wany Hasrita pada sidang akhbar Pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular 3.0 di Balai Berita NST, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 04 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu meningkat naik, Wany Hasrita mengesahkan dia masih solo dan belum memiliki teman istimewa.

Wany yang sedang popular dengan lagu Menahan Rindu berkata, dia juga tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana rakan artis seperti Tajul Arif yang digosipkan baru-baru ini.

Bagaimanapun, bakal graduan dalam bidang Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) Shah Alam itu menjelaskan dia tidak mampu menolak soal jodoh jika ditakdirkan bercinta dalam masa terdekat ini.

“Saya belum ada lagi teman istimewa dan saya tidak bercinta dengan sesiapa.

“Tapi saya tidak mampu menolak bila cakap pasal jodoh. Nanti tiba-tiba esok jatuh cinta dengan sesiapa, kita tidak tahu,” katanya berterus-terang.

Wany ditemui pada sidang media Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 3.0 di sini baru-baru ini.

Wanita berusia 25 tahun itu sebelum ini dikaitkan sedang bercinta dengan Tajul yang popular dengan lagu Sedalam-Dalam Rindu gara-gara adik allahyarham Achik Spin itu meluahkan rasa minat kepada Wany secara terbuka.

Wany dan Tajul juga kini sedang popular dengan lagu duet berjudul Disana Cinta Disini Rindu.

Wany menambah, dia tidak mungkin bercinta dengan Tajul kerana menganggap jejaka berusia 19 tahun itu seperti adiknya.

“Kami macam adik-beradik. Kami selesa sebagai kawan,” katanya.

Sementara itu Wany yang tersenarai sebagai Top 5 bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular dalam ABPBH 3.0 menyatakan dia seolah tidak percaya dengan pencalonan itu. – MalaysiaGazette