Nelo Vingada

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada diserang dengan dakwaan kononnya dia pernah terlibat dengan urus niaga `meragukan’ di Portugal dan bekerjasama dengan individu yang dikaitkan dengan sindiket bookie bola sepak, Eric Mao.

Belum sempat memulakan tugasnya itu, Vingada diserang soalan tersebut ketika diperkenalkan secara arasmi sebagai pengendali skuad kebangsaan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, lapor sebuah laman portal.

“Bagi memperjelaskan keadaan, saya tiada kaitan langsung dengan Eric Mao. Saya pernah bermain buat Atletico CP dan ketika mereka meminta bantuan saya, saya masih mempunyai kontrak bersama Iran.

“Ketika itu, Presiden Atletico yang meminta bantuan saya dan bukan Eric Mao. Dia bertanya kepada saya sama ada saya boleh bantu mereka (mencari pembeli saham) kerana saya berada di China ketika itu, saya beritahu mereka, okay saya boleh tolong.

“Saya tolong kelab itu biarpun mempunyai kontrak bersama Iran dan cuma dua atau tiga bulan memandangkan situasi pada waktu itu tidak begitu baik.

“Anda boleh baca apa-apa sahaja mengenai saya di mana-mana,” katanya seperti dilaporkan.

Akhbar dalam talian yang berpangkalan di Hong Kong, Asia Times pada 11 Mei lalu mendakwa, jurulatih kelahiran Portugal yang dikenali sebagai ‘The Professor’ itu pernah membantu Mao membeli pegangan yang membolehkannya mengawal kelab Portugal, Atletico CP.

Tindakan itu dikatakan bagi membolehkan ahli perniagaan dari China tersebut memanipulasi keputusan perlawanan.

Mao, bookie yang paling dikehendaki Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan kepada media bahawa dia pernah berurusan dengan Vingada ketika mahu membeli pegangan Atletico CP pada 2013. – MalaysiaGazette