Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Sudah serik diperdayakan kali kedua, mungkin itu ungkapan paling sesuai apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak bersetuju dengan hasrat bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjadi perdana menteri semula.

Anwar tidak selesa apabila mengetahui tentang rancangan Dr Mahathir mahu menjadi perdana menteri semula dan menegaskan sebarang keputusan mengenai jawatan penting tersebut perlu diputuskan secara konsensus dan bukan bergantung kepada keputusan seorang individu sahaja.

“Ia bukan keputusan beliau, sebaliknya Pakatan Harapan.

“Seseorang tidak menjadi menawarkan diri (menjadi perdana menteri) begitu saja sebaliknya perlu ada kesepakatan,” kata beliau yang dipetik semasa bertemu media di kompleks Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini.

Minggu lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam satu sesi soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebooknya mengakui bahawa beliau berkemungkinan terpaksa mempertimbangkan menjadi Perdana Menteri semula sekiranya itu yang dimahukan oleh kepemimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Pengakuan Dr Mahathir itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan memandangkan Konvensyen Nasional PKR bulan lalu telah membuat penegasan mahu Anwar sebagai perdana menteri ketujuh jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.