KOTA BHARU – Himpunan Penyatuan Ummah yang bakal dianjurkan Pemuda Pas dan Pemuda UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bukan hanya untuk Melayu-Islam semata-mata, sebaliknya terbuka kepada semua bangsa yang mahukan kedamaian, kesejahteraan dan penyatuan.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, himpunan secara besar-besaran itu dirancang sebagai kemuncak kepada usaha penyatuan ummah menjelang PRU16.
Menurut beliau, Pemuda Pas dan Pemuda UMNO dilihat bersedia menyediakan pentas berkenaan sebagai wadah untuk menghimpunkan semua pihak yang berkongsi aspirasi sama.
“Sebab itu dalam ucapan utama Ketua Pemuda tadi, di hujungnya ialah kita nak anjurkan Himpunan Penyatuan Ummah besar-besaran.
“Pemuda akan jadi tuan rumahnya. Saya rasa Pemuda Pas dan Pemuda UMNO kita bersedia untuk sediakan pentas itu.
“Sebelum PRU16, kita kena buat Himpunan Penyatuan Ummah ini yang besar-besaran. Itu kemuncaknya, insya Allah,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini, hari ini.
Terdahulu, Afnan Hamimi ketika menyampaikan ucapan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-67 di sebuah hotel di sini menegaskan, pihaknya akan menggerakkan Himpunan Mega Penyatuan Ummah sebagai kemuncak usaha memperkukuh penyatuan umat berlandaskan lima teras Memimpin Penyatuan.
Lima teras berkenaan ialah menyatukan akidah, saf, usaha, tekad dan matlamat.
Beliau berkata, gagasan berkenaan tidak akan dibiarkan sekadar menjadi slogan sebaliknya, akan diterjemahkan melalui gerakan di lapangan menerusi empat segmen utama sebelum dihimpunkan dalam satu gerakan lebih besar.
Sementara itu, mengulas sama ada bukan Melayu yang tidak ekstremis boleh dilibatkan dalam himpunan itu, Afnan berkata, penyatuan berkenaan terbuka kepada semua pihak.
“Semua pihak. Ya, ‘ummah’ ini macam ummah yang didefinisikan tadi, tidak semestinya merujuk kepada Melayu-Islam sahaja.
“Ia juga kepada bangsa-bangsa lain yang mahukan kedamaian, kesejahteraan dan penyatuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















