Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tujuh lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dipasang di lokasi yang kerap berlaku kemalangan, kata kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut kenyataan itu, pemasangan kamera berkenaan adalah tambahan kepada 14 kamera AES sedia ada di seluruh negara, sebagai usaha mengurangkan jumlah kemalangan membabitkan maut.

Pemasangan itu dilakukan JPJ dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) selepas meneliti beberapa lokasi kerap yang berlaku kemalangan.

Tujuh lokasi baharu yang dipasang kamera AES ialah di KM 151.4 Lebuhraya Plus – Pagoh, KM 299.9 Lebuhraya Plus-Kampar, KM 17 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, KM 96.3 Lebuhraya Plus – Kuala Muda, KM 256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Chenih, KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Chukai dan KM 146.8 Lebuhraya Plus – Pagoh.

Manakala 14 lokasi kamera AES sedia ada ialah di KM 7 Jalan Maharajalela, Teluk Intan, KM 376 Lebuhraya PLUS Slim River, KM 91 Jalan Ipoh – Butterworth di Kerian, KM 85.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur di Tapah, KM 205.6 Lebuhraya PLUS Taiping Utara.

Kamera juga dipasang di KM 26 Jalan Ipoh- Kuala Kangsar di Sungai Siput, Jalan Pasir Putih, Ipoh, KM 7.7 Sungai Besi, Jalan Persiaran Timur Putrajaya, KM 301.9 Kajang, Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya, KM 6.6 Jalan Kajang/Puchong, Jalan Klang Lama dan Jalan Ipoh.

Selain itu, empat lampu isyarat yang dipasang kamera AES adalah di KM 26 Jalan Ipoh – Kuala Kangsar (persimpangan Kampung Kerdah), Jalan Pasir Putih-Ipoh (persimpangan Jalan Temenggung), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (persimpangan Jalan Perhentian, Sentul) dan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (persimpangan Jalan Sepadu). – MalaysiaGazette