Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengakui bahawa beliau melalui “antara masa yang amat sukar” semasa mengendalikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Zeti ketika menerima temuramah Sinchew Daily berkata, beliau menyedari bahawa orang ramai menaruh harapan yang tinggi terhadap Bank Negara, tetapi institusi itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa.
Katanya, bank pusat itu juga mengenakan denda pada “kadar tertinggi dalam sejarah” ke atas 1MDB dan juga institusi kewangan yang melanggar undang-undang dalam isu berkaitan.
Bank Negara pada  April 2016 mengenakan kompaun ke atas 1MDB tetapi tidak mengumumkan nilai denda tersebut.
Zeti kini menumpu perhatian kepada kerja pendidikan dan beliau menemui media buat pertama kalinya selepas bersara sebagai Gabenor Bank Negara kira-kira setahun lalu.
Zeti berkata, undang-undang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Bank Negara untuk mengawasi operasi sistem kewangan negara, tetapi tindakan hanya boleh dikenakan ke atas pihak yang melanggar Akta Bank Negara.
“Harapan terhadap Bank Negara memang tinggi dan orang ramai mengharapkan kami dapat lakukan lebih banyak usaha lagi, tetapi Bank Negara tidak mempunyai kuasa mendakwa.
“Apa yang kami boleh lakukan ialah memberi sokongan kepada agensi lain yang mempunyai kuasa,” katanya.
Kata Zeti, dalam isu 1MDB, peranan utama Bank Negara ialah memastikan bahawa sistem kewangan negara dapat dipelihara dengan baik.
Ditanya sama ada berasa patah hati dalam isu 1MDB, Zeti berkata, sebagai gabenor, beliau tidak boleh menyimpan sebarang perasaan yang akan mengalihkan tumpuannya ke atas kerja.
“Warga Bank Negara perlu memberi tumpuan penuh kepada kerja kerana hasil kerja kami adalah demi rakyat dan dunia niaga, bukannya perasaan peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette