Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan ada tambahan kuota jemaah haji musim ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjelaskan, walaupun jumlah jemaah yang bakal menunaikan haji musim ini lebih 30,000 orang, tetapi tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi tambahan.

Kata beliau, tambahan itu berikutan hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman.

“Sebelum ini kuota haji bagi jemaah Malaysia hanya 22,230 orang, kemudian kerajaan Arab Saudi membenarkan tambahan kuota lebih 7,000 lagi menjadikan lebih 30,000 jemaah bakal mengerjakan haji.

“Bahkan, saya dimaklumkan, akan ada lagi tambahan. Ini suatu berita yang menggembirakan dari kerajaan pimpinan Najib kepada umat Islam di negara ini.

“Berikutan tambahan kuota ini juga kita akan menambah jumlah penerbangan yang sebelum ini dijadualkan sebanyak 77 penerbangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri TH dan pelancaran Aplikasi THiJARI di sini, hari ini.

Menurut Abdul Azeez, penerbangan pertama membawa bakal haji pada 24 Julai ini yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.30 pagi.

Mengenai kompleks TH yang dipersetujui kerajaan Arab Saudi untuk dibina di Mekah dan Madinah, beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mengunjungi Raja Salman untuk mengenalpasti tapak.

“Selepas semuanya selesai, barulah kita fikir bila tarikh mula pembinaan kedua-dua kompleks itu.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana bersetuju mengurniakan dua bidang tanah kepada kerajaan Malaysia untuk pembinaan kompleks itu. Satu di Mekah, satu lagi di Madinah,” katanya. – MalaysiaGazette