Fotografi bersama penyanyi, Sahara Yaacob di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Ada ketika hidup sebagai anak seni diduga dan diuji dengan kepayahan takkala menuju puncak yang diimpikan.

Barangkali waktu susah bagi penyanyi bernama Sahara Yaacob ini sudah berlalu.

Tentunya detik paling sukar dalam hidup wanita berusia 61 tahun ini apabila hidup sendirian dalam bilik stor yang dibina di kawasan rumah arwah kakaknya di Hulu Langat, Selangor selama dua tahun.

Keadaan hidup Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob yang daif selepas berpisah dengan bekas suami mengundang perhatian banyak pihak termasuk Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang membantu mendapatkan rumah DBKL buat penyanyi terbabit.

Akhirnya nasibnya terbela apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan penyewaan sebuah unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di sini, kepada penyanyi itu yang boleh diduduki bermula Ogos tahun lalu.

.

Berkunjung ke Studio MalaysiaGazette baru-baru ini, Sahara yang terkenal dengan imej berani dan fesyen rambut unik itu hadir dengan semangat baharu sebagai anak seni sejati.

Jelas Sahara yang mendapat jolokon Tina Turner Malaysia pada era kegemilangannya, dia semakin teruja untuk kembali ke pentas.

“Sejak setahun yang lalu, ramai sangat yang tolong saya. Jadi saya mahu buat kebajikan dengan menyanyi. Hendak bagi duit, saya tidak ada.

“Saya hendak beri balik dengan bakat yang Allah kurniakan untuk persembahan kebajikan. Cuma kalau untuk show, saya akan pilih sebab saya boleh dianggap standard antarabangsa.

“Show di karnival tidak ambil dan kena tengok harga yang bersesuaian,” katanya berterus-terang.

Untuk itu, kata Sahara yang pernah berkahwin sebanyak lima kali itu akan muncul dengan single terbaharu berjudul Tangisan Marhaen dalam masa terdekat.

Lagu asal nyanyian kumpulan Wings itu menjadi pilihan kerana digubah semula oleh komposer Azman Abu Hassan yang dijangka mampu menarik minat pendengar.

“Lagu ini masih berirama slow rock namun feel lain sikit. Saya sudah rakam bulan Disember lalu yang merupakan kerjasama dengan Universal Music sebagai label.

“Apa yang pasti, ramai yang bagi komen positif bila mendengar versi baharu Tangisan Marhaen itu dan mereka percaya lagu itu dapat memberi impak kepada saya untuk kembali ke persada seni.

“Ramai yang kata suka versi itu dan komen vokal saya masih seksi,” katanya yang masih hidup sendirian.

Mengulas membuat kemunculan pada usia 60-an, Sahara mengakui dia tidak pernah terfikir untuk kembali dalam dunia seni.

Jelasnya bersungguh-sungguh, dia sudah nekad bersara dan hanya mahu menghabiskan sisa-sisa hidup sendirian di rumah.

“Semua saya sudah buang macam baju, kasut, master tape lagu dan mikrofon. Saya memang tidak mahu lagi.

“Hampir 20 tahun saya tidak dengar lagu dan terus berhenti. Tapi saya tidak sangka akan bercerai lagi dan dua tahun saya hidup seorang diri pun masih tidak terfikir untuk kembali.

“Kebetulan saya jaga arwah ibu yang sakit apabila memerlukan perhatian selama 24 jam sehari. Namun bila media buat pendedahan hidup saya tahun lalu, ramai kawan-kawan yang beri galakan untuk menyanyi semula,” katanya rancak berbual.

Sahara yang tidak mempunyai anak bagaimanapun mengakui dia kembali ke dunia bukan kerana hidup yang susah.

“Susah sudah tidak ada dalam hidup saya. Saya pernah tidak makan selama tiga hari. Makan maggi pun sudah jadi rutin. Pakai baju koyak rabak.

“Jiwa saya sudah tenang ketika itu, tiada ada wang pun tidak apa. Tapi kawan-kawan beri sokongan cakap saya masih ada nama.

“Alhamdulillah, sejak saya kembali menyanyi, penyakit-penyakit saya seperti gout, asma, batu karang dan darah tinggi sudah hilang,” katanya tersenyum sambil memberitahu cuma kadang-kadang mengalami semput.

Ditanya imejnya yang masih unik pada usia yang makin meningkat dan dianggap sudah tidak sesuai, Sahara berkata, dia tidak mampu menepis tanggapan negatif masyarakat.

Katanya, sejak membabitkan diri dalam dunia seni pada tahun 60an, dia telah dididik menjadi penghibur sejati.

“Jadi penghibur, naik pentas kena nampak macam diva dan hebat ibarat dipuja ramai. Lupa semua masalah diri dan fokus beri persembahan terbaik untuk penonton.

“Sebenarnya saya masih bertudung di luar dan ketika show akan memakai rambut palsu. Saya tidak kecil hati dengan kata-kata orang. Bila saya kembali jadi penghibur, susah hati macam mana pun tetap kena hiburkan orang,” katanya jujur.

Mengakhiri perbualan, Sahara diusik dengan soalan untuk bertemu jodoh kali keenam.

Sambil berseloroh, dia berkata; “Taubat. Biarlah hidup seorang diri kerana bila di rumah sendirian, saya boleh berzikir selalu tanpa gangguan sesiapa. Cukuplah lima kali kahwin. Tapi jodoh dan maut atas kehendak Allah.” – MalaysiaGazette