Kongsi
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sempat meluangkan masa bersarapan pagi bersama sebahagian wartawan dan jurufoto selepas menyempurnakan Pelancaran Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). foto SAFWAN MANSOR, 10 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menyarankan para petugas media tempatan dan antarabangsa supaya melaporkan berita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) secara tepat, berfakta dan penuh bertanggungjawab.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dalam era ledakan maklumat, semua berita perlu pantas sehingga ada yang percaya berita yang disiarkan bukan sahaja tepat dan cepat tetapi juga mesti daripada lain untuk menarik perhatian pembaca.

“Sebelum sesuatu berita itu menghiasi muka depan surat khabar anda dengan tajuk sensasi saya menyeru agar konteks dan impak beritahu itu bukan sahaja kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA KL (MASOC) juga kepada negara dipertimbangkan sebaik mungkin.

“Ini terutamanya penting bukan sahaja dari aspek laporan mengenai penganjuran tetapi sekiranya berlaku sebarang masalah melibatkan pelbagai pihaj seperti MASOC, para atlet , pihak berkuasa tempatan atau kontinjen luar negara,

“Pastikan anda mendapatkan maklumat yang tepat dan rasmi dan jangan menyulitkan lagi apa-apa masalah yang timbul dengan berita yang boleh mengeruhkan keadaan atau mengelirukan orang ramai,” katanya selepas melancarkan Operasi Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IPC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Tambah Khairy, sempena temasya KL2017, sebanyak 744 stesen kerja dibuka di kawasan seluas 35,000 kaki persegi dan 2,933 petugas media terdiri daripada wartawan akhbar, elektronik dan digital tempatan, jurugambar, jurukamera dan kru hos penyiar bukan sahaja daripada tempatan dan rantau Asia Tenggara tetapi juga pengamal media antarabangsa akan bertugas menjelang temasya yang akan berlangsung sehingga 30 Ogos ini.

Pusat Penyiaran Antarabangsa buat masa ini akan digunakan oleh sembilan penyiar dari empat negara, iaitu tiga stesen TV Malaysia iaitu RTM, TV3 dan Astro Arena sebagai penyiar rasmi manakala TVRI dan SCTV mewakili Indonesia, TPT TV dari Thailand, VTV dan HTV dari Vietnam serta Mediacorp dari Singapura.

Katanya, jumlah petugas media yang bakal terlibat dalam liputan temasya kali ini adalah tiga kali ganda lebih besar daripada temasya yang telah diadakan di Singapura pada tahun 2015.

Sebanyak 28 acara sukan akan disiarkan secara langsung, dan lapan saluran akan dikhaskan untuk siatran temasya kali ini dengan tempoh penyiaran selama 30 jam sehari menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Arena dan Media Prima.

Beliau juga mengharapkan supaya kemudahan di Pusat Media Utama dan IPC akan memastikan tidak ada masalah media perlu duduk di atas lantai atau perlu tunggu lama menggunakan sumber kuasa dan dapat menumpukan perhatian kepada tugasan sukan yang diamanahkan agensi masing-masing.

“Dengan jumlah kehadiran pengamal media yang agak tinggi, MASOC membuat perancangan rapi untuk memastikan kemudahan dan tempat yang ditawarkan adalah mencukupi dan selesa selain jurugambar disediakan pusat khidmat untuk kamera Nikon, Canon dan Sony.

“MASOC juga telah menyediakan 60 orang pemberita dan jurugambar rasmi yang akan memuat naik maklumat dan berita rasmi ke aset digital KL2017 iaitu laman web, Instagram, Youtube, Facebook dan Twitter dan akaun rasmi Youtube KL2017 yang menempatkan 28 disiplin sukan dengan dua saluran bersiar secara langsung dan 13 lagi saluran on-demand.

“Selain itu aplikasi telefon KL2017 yang dinamakan “KL2017 Games” boleh dimuat naik untuk maklumat jadual perlawanan, keputusan, pungutan pingat terkini dan lain-lain lagi yang akan memudahkan wartawan yang bertugas untuk pertandingan lain,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan