Gambar hiasan.

RIYADH – Raja Arab Saudi, Raja Salman mengarahkan sempadan negaranya dengan Qatar dibuka semula bagi membolehkan jemaah dari negara jiran menunaikan ibadah haji di Mekah, menurut media rasmi negara itu.

Keputusan tersebut merupakan langkah positif yang pertama sejak krisis diplomatik tercetus apabila Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar pada 5 Jun lalu.

Keputusan membuka sempadan dilakukan selepas Putera Mahkota Mohammad Bin Salman menerima utusan dari Doha, menurut kenyataan Saudi News Agency.

Raja Salman telah mengarahkan jemaah haji Qatar dibenarkan ‘memasuki Arab Saudi dengan menyeberangi sempadan untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

Malah beliau telah mengarahkan pesawat milik Saudi Airlines dihantar ke lapangan terbang Doha dan ‘menanggung perbelanjaan untuk membawa semua jemaah haji Qatar’.

Putera Mahkota itu memberi penekanan terhadap ‘sejarah hubungan antara penduduk Arab Saudi dan Qatar dan antara kepimpinan Arab Saudi dengan keluarga diraja Qatar,” tambah kenyataan itu.

Arab Saudi dan sekutunya yang mendakwa Qatar menyokong keganasan dan rapat dengan Iran menutup ruang udara, maritim dan darat yang menghubungkan dengan Qatar dan mengenakan sekatan ekonomi.

Qatar menafikan tuduhan tersebut dan menuduh jirannya itu cuba memusnahkan ekonominya.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, Qatar yang mempunyai penduduk seramai 2.6 juta orang, yang mana 80 peratus adalah warga asing, merupakan negara terkaya di dunia, berdasarkan per kapita.

Negara itu mempunyai dana kekayaan sebanyak AS$330 bilion, dengan pelaburan dilakukan secara besar-besaran di luar negara. – Agensi.