Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong bercakap ketika sidang media di Menara PGRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 19 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membidas cara kerajaan DAP Pulau Pinang melayan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Penanti, Dr. Norlela Ariffin berhubung isu pencemaran kilang di Sungai Lembu.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong bersimpati dengan Norlela yang kini dipinggirkan oleh kerajaan DAP hanya kerana membangkitkan isu rakyat di kawasannya walhal sudah berkali-kali masalah itu dibangkitkan tapi sebarang penyelesaian.

“Kita boleh cara mereka layan ahli keluarga sendiri. Ini masalah Pakatan. Sebenarnya yang buat semua ini adalah ADUN PKR.

“Beliau (Norlela) cakap sudah bawa ketengah kes ini banyak kali. Saya sebenarnya simpati dengan beliau yang sering diserang setiap masa walaupun dia juga salah seorang wakil rakyat pembangkang,” katanya sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Siew Keong juga menggesa supaya kerajaan DAP daripada berhenti menyalahkan pihak lain berhubung isu kilang tersebut dan mereka sepatutnya menyelesaikan masalah tersebut kerana sudah 10 tahun memerintah Pulau Pinang.

“Hentikan permainan menyalahkan orang lain, ini lah masalah kerajaan DAP nak salahkan orang lain.

“Selepas 10 tahun (memerintah Pulau Pinang) masih nak menyalahkan orang lain. Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab, ini tidak adil kepada rakyat apabila semua nak dipolitikkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Anggota Exco Kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lepas bagi membantu siasatan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Exco kanan kerajaan negeri pimpinan DAP itu, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Norlela mengucapkan tahniah kepada SPRM  terhadap tindakan tersebut, namun ia menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin DAP di Pulau Pinang, malahan dipulaukan pucuk pimpinan parti hanya kerana memperjuangkan isu rakyat di kawasannya.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Norlela pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri. – MalaysiaGazette