Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal tersenarai sebagai kuasa ke-24 terbesar dunia pada tahun 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini berdasarkan laporan syarikat gergasi perkhidmatan profesional antarabangsa, PwC yang membuat kajian bersandar kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan keyakinan pelabur asing ke atas keteguhan ekonomi negara.

“Sekiranya pencapaian ini menjadi kenyataan, impian kita untuk menjadi negara maju bukan angan-angan atau bualan kosong sahaja. KDNK Malaysia pada suku pertama melangkaui jangkaan pakar ekonomi iaitu 5.6 peratus dan sekali lagi meningkat pada suku kedua pada paras 5.8 peratus.

Paras KDNK ini lebih tinggi daripada tahun lepas pada suku yang pertama iaitu empat peratus.

Pencapaian semua ini secara langsung menguntungkan rakyat kerana hasil ekonomi kita yang semakin kukuh ini membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat seperti membina lebih banyak hospital dan klinik, memberi bantuan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan sebagainya,” katanya dalam laman blog Najibrazak.com.

Menurut Najib, peningkatan ekonomi sebuah negara tidak berlaku dalam sehari atau dalam tempoh yang singkat.

Ia perlu mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti namun boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

“Oleh itu, janganlah kita melibatkan diri dengan unsur atau pihak yang cuba meruntuhkan apa yang kita telah bina selama ini kerana inilah tanah air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette