Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot cuba memasang tali keselamatan perindustrian ketika melawat gerai pameran syarikat pembekal alatan keselamatn MKRS selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselematan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke 20 (COSH2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). foto SAFWAN MANSOR, 18 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjemput Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH) menyertai jawatankuasa petugas khas yang baharu ditubuhkan untuk menyelaras aspek keselamatan di sekolah seluruh negara.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak mampu menjalankan tanggungjawab itu secara bersendirian dan memerlukan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan keselamatan untuk memastikan semua sekolah mempunyai ciri keselamatan yang baik dan memuaskan.

“Saya hendak menjemput NIOSH menduduki task force kita. NIOSH mempunyai pengalaman berhubung dengan aspek keselamatan syarikat. Kita mahu mereka membantu kerajaan melihat dan memantau ciri keselamatan di sekolah, termasuk tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-20 (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot Jaem dan Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye.

Kata Ahmad Zahid, kerajaan sentiasa mengambil langkah menjaga keselamatan terutama murid dan pelajar sekolah sama ada yang belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan, persendirian mahupun pusat pengajian agama yang ditubuhkan individu tertentu.

Menurutnya, beliau tidak mahu tragedi yang mengorbankan nyawa 23 pelajar termasuk dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur awal pagi Khamis lalu berulang lagi.

“Ada yang tidak mengambil iktibar kejadian yang meragut nyawa 27 pelajar pusat pengajian pondok di Pondok Pak Ya sekitar akhir 80-an dahulu.

“Saya berada di tempat kejadian di Darul Quran, Keramat Ujung. Saya dapati tidak ada aspek keselamatan diambil ke atas bangunan itu. Semua tingkap dipasang jeriji yang tidak boleh dibuka.

“Saya melihat tompok-tompok mangsa yang korban. Sangat tragis,” katanya.

Jelas beliau, mulai sekarang semua pusat pengajian pondok akan dipantau oleh NIOSH yang bertanggungjawab untuk melihat aspek keselamatan.

Ahmad Zahid juga tidak mahu semua pihak saling menuding jari, sebaliknya sama-sama tampil membantu kerajaan bagaimana untuk menjaga keselamatan anak-anak yang belajar di sekolah mahupun pusat pengajian agama. – MalaysiaGazette