Anggota Bomba dan Penyelamat Unit Forensik melakukan pemeriksaan susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat menggesa semua pihak bersama-sama menghapuskan sindiket pengedaran dadah di kawasan Keramat.

Tindakan itu menurutnya sebagai susulan kejadian kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 25 nyawa akibat khianat daripada penggunaan dadah oleh enam remaja yang disyaki membakar pusat pendidikan agama itu.

“Pihak polis perlu menumpukan perhatian untuk mencari di mana remaja ini mendapat bekalan dadah. Perkara ini perlu dibenteras dari pada sumber pengedaran dadah itu sendiri. Kalau mereka sudah diuji dan disahkan positif, tentunya mereka tahu siapa yang menjual atau memberi dadah itu kepadanya.”

“Dengan membuat tangkapan segera ke atas pengedar yang membekal ianya akan dapat membenteras masalah dadah di Keramat yang dianggap ‘lubok’.

Tambahnya, pemutihan secara menyeluruh akan hanya berjaya seandainya pengedar-pengedar yang beroperasi di kawasan terbabit ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, sekiranya tindakan susulan atau tiada sebarang penangkapan dibuat terhadap pengedar dadah di kawasan itu, kecekapan pihak berkuasa seperti PDRM dan AADK akan dipertikaikan oleh pelbagai pihak, tambahnya.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga para huffaz dan murabbi yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato’ Keramat.”

“Saya berdoa semoga anak-anak huffaz dan murabbi yang terkorban dalam tragedi ini dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah SWT dan mendapat husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat Allah SWT.”-MalaysiaGazette