Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Dewan Tun Razak, PWTC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – MIC perlu berdiri teguh sebagai parti politik komponen Barisan Nasional (BN) yang kukuh selepas mengharungi reformasi.

Berikutan itu, parti tersebut perlu melahirkan pemimpin berkredibiliti tinggi dan boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri berkata, beliau sedar parti itu mahu bertanding pada semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini apabila MIC beberapa membangkitkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MIC mematuhi prasyarat BN menentukan calon dengan memilih mereka yang boleh menang, berkredibiliti serta diterima semua kaum.

“Mengikut realiti politik tanah air, tidak ada mana-mana kerusi yang majoritinya pengundi India dan MIC perlu bergantung kepada sokongan komuniti lain juga jika mahu menang.

“Terbaharu dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat yang mana Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan mengendalikan kebajikan dengan penuh bertanggungjawab dan terbaik kepada mangsa dan keluarga semua yang terjejas.

“Ini contoh terbaik MIC mengambil berat kebajikan dan masalah komuniti lain yang tidak seharusnya terhenti sekadar pemimpin tertinggi MIC, tetapi perlu diturunkan ke semua peringkat dan Bahagian parti,

“Ini bererti selain memberi keutamaan kepada masyarakat India, janganlah meminggirkan kepentingan kaum lain juga, ini konsensus kekeluargaan yang harus dipikul,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri tengku Adnan Tengku Mansor, bekas Presiden MIC merangkap Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Tun S. Samy Vellu dan pemimpin parti komponen dan rakan BN.

Dalam ucapannya, Pengerusi BN itu juga memuji proses perubahan yang dilakukan kemimpinan Subramaniam dalam MIC sehingga menjadikan parti tersebut sebagai sekutu BN yang kukuh seiring dengan UMNO.

“Saya difahamkan MIC melakukan pindaan pada Perlembagaan kali ini yang bakal membolehkan hampir 42,000 ahli peringkat Cawangan MIC memilih presiden parti.

“Ia juga melibatkan bukan sahaja peringkat Ketua Bahagian MIC malah memberi kuasa kepada cawangan menentukan pemimpin masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette