Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan terus memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu serta bumiputera Islam dan bukan Islam dalam agenda nasional agar dapat merasai setiap nikmat kemajuan negara.

Lantaran itu, Datuk Seri Najib Razak berharap syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan GLC terus memainkan peranan mereka dalam kejayaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

“Dasar Carve Out and Compete sebagai contohnya, menyediakan peluang kepada syarikat Bumiputera untuk mendapat kontrak dan menyertai projek-projek mega yang ditawarkan oleh Kerajaan, GLC dan swasta berdasarkan merit, rekod cemerlang serta keupayaan untuk menyiapkan projek.

“Contoh terbaik Carve Out and Compete adalah Projek Fasa 1 MRT yang mana daripada nilai pakej pembangunan projek yang berjumlah 21.2 bilion ringgit, sebanyak 51 peratus telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera,” katanya ketika berucap di majlis penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera di sini hari ini.

Menurut Najib, sebanyak 10 syarikat G20 telah melaksanakan program Pembangunan Vendor dengan jumlah 1,375 vendor setakat Disember 2016, yang kini bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam mengukuhkan rangka kerja program itu untuk menghasilkan juara kebangsaan, serantau dan global.

Pada tahun 2016, syarikat-syarikat GLC berjaya menghasilkan 8 vendor yang diiktiraf sebagai juara nasional dan satu vendor yang diiktiraf sebagai juara serantau.

Selain itu, melalui inisiatif yang sama, peluang penyertaan Bumiputera dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka akan mencecah 60 peratus.

“Saya pastikan agar kontraktor tempatan dari Sabah dan Sarawak sendiri akan mendapat peluang di dalam projek ini.

“Ini semua jelas menunjukkan pihak Kerajaan dengan kerjasama syarikat GLC telah menunjukkan komitmen sepenuhnya kepada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera,” ujarnya.

Najib berkata, semua GLIC dan syarikat kumpulan 20 ( G20) secara keseluruhannya telah mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang lebih baik iaitu 93 peratus pada tahun 2016 berbanding 91.5 peratus bagi tahun sebelumnya.

Daripada segi nilai pula, inisiatif keseluruhan telah menyumbang kepada RM56 bilion berbanding RM44 bilion pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette