Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap seterusnya merasmi Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-4 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di Dewan Utama, Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SAFWAN

PUTRAJAYA – Sebanyak 13,000 koperasi di seluruh negara perlu mencapai status berdaya maju dan berkembang secara lestari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mahu kedua-dua aspirasi tersebut boleh dicapai menerusi kepimpinan koperasi yang memiliki kesungguhan untuk mendukung pengisian misi dan visi koperasi itu sendiri.

Menurutnya, gerakan koperasi dilihat terbukti mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara dan menyediakan peluang-peluang perniagaan serta pekerjaan kepada rakyat.

“Saya ingin melihat gerakan koperasi kita terus berkembang secara terancang dan tersusun.

“Asas kepada kejayaan gerakan koperasi tentunya berpunca daripada kepimpinan koperasi itu sendiri yang berpegang kepada nilai-nilai asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Koprojaya, Muhammad Ammir Haron.

Najib yang juga Penaung Koprojaya berkata, koperasi di Malaysia merupakan sebuah sektor yang cukup besar dengan jumlah keahlian melebihi tujuh juta orang serta jumlah aset sebanyak RM130 bilion.

Di peringkat global jelas beliau, kajian International Cooperative Alliance pada 2014 mendapati koperasi menggajikan seramai 250 juta orang pekerja iaitu hampir sembilan peratus daripada keseluruhan populasi pekerja dunia.

Katanya, dalam kelompok negara maju G20 yang merangkumi 85 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, koperasi menggajikan pada kadar lebih tinggi iaiu sehingga 12 peratus, justeru, adalah tidak mustahil sektor koperasi negara menjadi pencipta peluang pekerjaan atau majikan yang terbesar selepas sektor swasta dan sektor awam.

Ujarnya, beliau tertarik dengan cara koperasi tersebut berkembang walaupun bermula dalam keadaan serba kekurangan.

Najib berkata, Koprojaya dilihat berjaya mempertambah aset, memperoleh keuntungan dan membayar dividen sebanyak 10 peratus kepada ahli-ahlinya sejak 2014.

Beliau mengambil contoh sektor koperasi di Jepun yang menyaksikan sektor tersebut memainkan peranan utama dalam menjana pekerjaan baharu melalui gerakan buruh, pewujudan usahawan kelas menengah dan pembangunan komuniti. – MalaysiaGazette