Timbalan Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghaffour berucap pada persidangan kebangsaan ‘Toward an Effective National Financial Education Strategi for Malaysia’ anjuran Gabungan Persatuan Pengguna (FOMCA) dengan kerjasama Bank Negara di Lanai Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia sedang menyiapkan strategi kebangsaan lima tahun bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, strategi tersebut bersandarkan kepada tiga teras utama iaitu jelas, kerjasama dan komitmen.

Jelas beliau, ia meliputi pandangan jelas mengenai kedudukan sebenar rakyat Malaysia, kerjasama kukuh dengan semua pemegang taruh kerana celik kewangan adalah tanggung jawab bersama.

Selain itu, teras ketiga iaitu komitmen adalah bagi memastikan pendekatan berorientasikan hasil digunakan dalam pelaksanaan.

“Matlamat kami adalah untuk membentuk masyarakat bertanggungjawab terhadap kewangan dan mampu menguruskan kewangan dengan baik.

“Masyarakat yang mempunyai kemahiran mengurus kewangan mempunyai kebebasan dalam memilih gaya hidup,” katanya semasa berucap di forum bertajuk Ke arah Strategi Berkesan Pendidikan Kewangan Kebangsaan di sini hari ini.

Menurut Abdul Rasheed, pengurusan kewangan yang baik menjadi pra-syarat kepada sebuah ekonomi mapan.

Tambahnya, aspirasi dan objektif strategi kebangsaan bagi celik kewangan telah diputuskan dalam Rangkaian Pendidikan Kewangan (NEF) yang ditubuhkan pada akhir tahun lalu.

Hasil strategik, kawasan utama dan kumpulan sasar juga telah dikenal pasti.

“Kewangan sihat bukan bermakna perlu menjadi kaya. Sebaliknya, ia adalah mengenai kemampuan untuk hidup mengikut kemampuan dan membuat keputusan kewangan yang bertanggung jawab.

“Kedudukan kesihatan kewangan seseorang individu sangat bergantung kepada dua faktor iaitu taraf celik kewangannya dan latar belakang ekonomi seseorang itu,” katanya lagi.

Jelasnya, sudah banyak kes di mana seseorang yang mempunyai pendapatan tinggi menjadi miskin kerana gagal menguruskan kewangan peribadi dengan baik.

Malah terdapat banyak juga kes yang menunjukkan ada individu yang tidak mempunyai pendapatan tinggi tetapi tidak menghadapi masalah kewangan kerana berbelanja mengikut kemampuan dan bersederhana, katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, Bank Negara juga mengalu-alukan pandangan dan idea dari rakyat yang boleh digunakan ketika merangka strategi tersebut. – MalaysiaGazette