Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa mampu mewujudkan kepimpinan politik Islam dalam kearajaan bermula dari pelantikan calon melalui penapisan Majlis Syura Ulama (MSU).

Tindakan yang dilakukan itu dikatakan mendahului daripada cadangan terkini parti politik lain supaya nama calon mereka ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas tidak perlu kepada SPRM, sebaliknya cukup yakin dengan kewibawaan MSU dalam memastikan sifat adil calonnya mengikut istilah politik Islam.

“Dalam Pas, kita meletakkan syarat setiap calon seboleh-bolehnya tidak fasik iaitu tidak melakukan dosa besar atau tidak mengekali dosa kecil. Seterusnya mereka diikat dengan Bai’ah dan Qasam (sumpah) mengikut Islam.

“Saya memberi contoh, kerajaan Pas Kelantan yang memerintah lebih dua puluh tahun, walaupun menghadapi sekatan dan himpitan Kerajaan Pusat dahulunya, boleh bertahan sehingga kini.

“Kami bertahan dengan ciri kerajaan bersih tanpa rasuah, berkonsepkan pentadbiran Islam, walaupun sekadar mempunyai bidang kuasa kerajaan negeri yang menghadapi Kerajaan Pusat yang mencabuli konsep federalisma mengikut Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, dalam aspek mengurus ekonomi negara, Islam mengutamakan hasil bumi dan pungutan yang diwajibkan daripada rakyat yang berada di tahap kemampuan sahaja.

Maka katanya, konsep cukai yang membebankan semua termasuk si miskin dan penganggur tidak digalakkan kecuali dalam keadaan darurat.

Sehubungan itu, kata Abdul Hadi, Pas yakin mampu memimpin negara bermasyarakat majmuk ini, berbekalkan kontrak sosial yang sedia ada sekarang dengan penafsiran Islam sebenar tanpa meminggirkan pelbagai kaum dan agama yang diwakili.

“Kita mengajak rakyat supaya menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai asas Perlembagaan itu.

“Pas menganggapnya sebagai pengkhianat negara yang wajib disingkir oleh rakyat, demi menyelamatkan negara dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette