Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Harga hartanah yang dikatakan sudah menjunam sampai ke tahap paling rendah dijangka melambung semula pada suku kedua tahun depan.
Lim Boon Ping daripada Persatuan Ejen Hartanah Malaysia berkata, penawaran rumah kediaman pada masa ini adalah melebihi permintaan.
Beliau bagaimanapun menjangkakan harga hartanah tidak akan terus menurun, tetapi akan melambung balik.
Beliau memberitahu China Press, penurunan harga berlaku khususnya untuk rumah mewah sedangkan kediaman di bawah RM500,000 masih mempunyai permintaan yang tinggi.
Jelasnya, penyelarasan yang dilakukan pemaju dengan mengurangkan atau memperlahankan pelancaran projek baharu akan membantu menyeimbangkan permintaan dan penawaran pada tahun depan.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA), Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor bagaimanapun berpendapat, walaupun pemaju berdepan kesusahan yang teruk pada masa ini, tetapi sektor hartanah belum melalui “detik paling sukar”.
Beliau justeru membayangkan bahawa harga hartanah sukar mengalami kenaikan.
FD Iskandar berkata, transaksi hartanah mulai merosot mulai 2015 dan telah berkurangan lebih 60,000 transaksi atau 15 peratus dalam tempoh 2015 dan 2016.
“Keadaan ini berlaku kerana pemilik yang ingin menjual hartanah telah meletakkan harga yang tinggi sehingga tiada pembeli yang berminat.
“Ramai pemilik hartanah kini sudah menerima realiti dan sanggup mengurangkan harga pada kadar lima hingga 10 peratus selepas gagal menjual premis mereka selama setengah tahun dan terpaksa menanggung yuran pengurusan bangunan,” katanya.
Tan Chong Leng daripada Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah pula berpendapat, “kemurungan pasaran hartanah” berlaku kerana pemaju tidak membina rumah mampu milik yang mendapat sambutan.
Katanya, pemaju sebaliknya lebih cenderung membina rumah yang tidak mampu untuk dimiliki orang ramai.
Katanya, rumah mampu milik harus dijual di bawah RM300,000, tetapi kebanyakan rumah kini adalah RM400,000 atau RM500,000 ke atas.
Menurutnya, apa yang sinis ialah pemaju tetap melabelkan “rumah mampu milik” walaupun kediaman yang dijual mereka tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang. – MalaysiaGazette