Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang lelaki membuat laporan polis selepas diugut oleh sekumpulan lelaki ketika  menjamu selera bersama ahli keluarga di restoran McDonald’s.

China Press melaporkan, semasa kejadian pada 12 April di Kuantan itu, sekumpulan lelaki sedang mengadakan kempen boikot di luar restoran dan menganggu pengadu.

Kumpulan tersebut pada mulanya memanggil pengadu, yang merupakan orang Melayu berumur 40 tahun, apabila melihatnya memasuki restoran.

Seorang lelaki kemudian melakukan provokasi terhadap pengadu yang keluar dari restoran, tetapi pelapor memasuki semula restoran tanpa mempedulikannya.

Namun, selepas menjamu selera, kumpulan tersebut sekali lagi menganggu pengadu dan ahli keluarganya yang keluar dari restoran.

Tidak puas hati selepas dimaki dan dihina, pengadu menghampiri kumpulan tersebut tetapi diugut seorang lelaki akan dipukul menggunakan helmet motosikal.

Pengadu segera meninggalkan tempat kejadian dan membuat laporan polis sekitar pukul 12 tengah malam. – MalaysiaGazette