Gambar hiasan

KUALA KUBU BAHARU – “MCA sedang mengumpul pendapat.”

Itu ulasan Pengerusi MCA Selangor ketika ditanya berhubung spekulasi bahawa parti itu berminat untuk bertanding dalam kerusi negeri Kuala Kubu Baharu, walaupun DAP telah menyatakan akan menghantar calon.

Lawrence berkata, beliau sedang mengumpul pandangan daripada ahli parti dan akar umbi sebelum memanjangkannya kepada pusat.

Beliau berkata, walaupun mempunyai suara berbeza, tetapi kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menggambarkan MCA sebagai “parti tauke” dan kononnya MCA tidak membantu masyarakat Cina dan kaum lain telah menimbulkan reaksi besar daripada akar umbi.

Katanya kepada Oriental Daily, memandangkan BN Selangor belum bermesyuarat, maka masih terlalu awal untuk berbincang sama ada MCA mahu bertanding.

Mengenai lawatan beliau ke Kuala Kubu Baharu, Lawrence berkata, program tersebut hanyalah kunjungan biasa menjelang pilihan raya kecil.

Dalam wawancara rancangan Keluar Sekejap, Anthony berkata, semasa menjadi pelajar, beliau memilih menyertai DAP bukan kerana tidak suka BN, tetapi kerana tidak suka MCA.

Anthony juga dilaporkan berkata MCA merupakan satu parti yang memberi imej sebagai parti untuk orang kaya dan mereka yang berkedudukan.

Susulan kenyataan itu, pemimpin utama MCA termasuk presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong telah menyatakan rasa kecewa serta menegaskan pelbagai sumbangan parti itu sejak merdeka.

Semasa pilihan raya negeri, mendiang Lee Kee Hiong dari DAP berjaya mempertahankan Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi walaupun DAP melihat kerusi itu sebagai berisiko.
Sebagai rekod, Kuala Kubu Baharu pernah menjadi kubu MCA di Selangor sebelum DAP berjaya menerobos melalui Kee Hiong pada 2013. – MalaysiaGazette