Kongsi
Othman Aziz (emat dari kiri) menyaksikan penyerahan Sijil Approved Employer oleh badan-badan profesional akaunan iaitu MICOA, CPA Australia, ACCA dan CIMA kepada JANM.

KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah diiktiraf sebagai Approved Employer Partner oleh badan profesional perakaunan iaitu MICPA, CPA Australia, ACCA dan CIMA.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, ia merupakan penghargaan kepada kerajaan yang memperkasakan modal insan dalam profesion perakaunan sektor awam.

Kerajaan melalui Agenda Pembangunan Bumiputera telah mensasarkan seramai 18,000 akauntan bumiputera mempunyai kelayakan profesional menjelang tahun 2020.

Pada masa ini, daripada 33,893 akauntan yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia, seramai 20,312 atau 59.93 peratus ahlinya mempunyai kelayakan dalam Badan Profesional Perakaunan.

Namun, daripada jumlah tersebut hanya 1,725 atau 8.5 peratus sahaja merupakan akauntan Bumiputera yang mempunyai kelulusan Badan Profesional Perakaunan.

“Dengan pengiktirafan ini, diharapkan JANM dapat mengambil inisiatif untuk meningkatkan jumlah akauntan sektor awam yang mempunyai kelayakan profesional perakaunan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Othman, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melihat keperluan ini dengan mewujudkan ruang dan peluang kepada Akauntan Sektor Awam mengikuti pengajian profesional perakaunan melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

“Negara memerlukan lebih ramai akauntan profesional yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi membantu kerajaan dalam proses membuat keputusan dan merangka hala tuju dan dasar negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan