ARAU  – Semua calon Barisan Nasional (BN) di Perlis yang berhasrat bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, disaran agar lebih kerap turun padang dan mendekatkan diri dengan rakyat kerana ia akan menentukan kejayaan mereka pada masa akan datang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata kuasa memilih pemimpin terletak pada tangan rakyat yang merupakan pengundi, dan setiap tindakan calon akan dinilai dan diterjemahkan semasa pilihan raya.

“Jangan turun padang semata-mata untuk jumpa pemimpin, kena turun padang jumpa rakyat sebab yang nak mengundi itu rakyat, bukan pemimpin,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada kaum India Parlimen Arau pada Program Cakna Rakyat Sempena Hari Deepavali anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Perlis di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga yakin akan dapat mengekalkan kemenangan BN di negeri ini kerana telah bekerja keras demi berbakti kepada rakyat selain mendapat sokongan kuat daripada parti-parti komponen.

Katanya, rakyat yakin hanya kerajaan BN yang boleh memberi kebaikan dan kemudahan kepada mereka tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama dalam memperjuangkan nasib rakyat.- BERNAMA

Comments are closed.