Home Utama Pendapatan B40, M40 ketara meningkat

Pendapatan B40, M40 ketara meningkat

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan itu mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan B40 dan M40 meningkat dengan begitu ketara.

Malah, kadar kemiskinan terus menurun, kata Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan seisi rumah kumpulan B40 meningkat sebanyak 76 peratus pada tahun 2014 sejak tahun 2009 manakala pendapatan seisi rumah M40 melonjak hampir 60 peratus untuk tempoh yang sama.

“Jika kita melihat dari segi purata pendapatan pekerja dalam setiap sektor, menunjukkan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2016 dalam tempoh 3 tahun sebelumnya.

“Ini antara tanda yang kedudukan kewangan pekerja secara keseluruhannya semakin baik,” kata beliau menerusi blognya.

Meskipun peningkatan ini merupakan kejayaan inisiatif kerajaan seperti program peningkatan pendapatan di luar bandar, kenaikan gaji minimum dan pelbagai program keusahawanan, namun penyumbang terbesar kejayaan itu adalah semangat daya saing dan usaha keras rakyat pun meningkatkan pendapatan mereka.

Lantaran itu, Najib menyeru rakyat terus berusaha semangat daya saing dan membangunkan ekonomi negara kerana ia tidak dapat dijayakan dengan usaha satu pihak sahaja. – MalaysiaGazette