Husam Musa
Husam Musa

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa mahu pertikaian Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor dekat Kota Bharu diselesaikan di mahkamah.

Katanya, beliau telah menubuhkan satu kumpulan yang dibarisi beberapa peguam untuk memfailkan kes perebutan itu ke mahkamah agar penyelesaian dapat dilakukan melalui proses undang-undang.

“Tunggu keputusan mahkamah. Kalau mahkamah putuskan bangunan ini hak Mohd Yasin Yusof, Pas ambillah. Kalau mahkamah kata ini hak Datuk Husam, Pas bayarlah,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan sekumpulan Pemuda Pas Kelantan menggempur bangunan Wisma Tok Guru malam kelmarin untuk memasang bendera parti.

Ketua Penerangan Pemuda Pas negeri, Nazman Che Iberahim dilaporkan berkata, tindakan itu adalah sebagai menyampaikan mesej kepada PAN Kelantan supaya mengosongkan Wisma Tok Guru sebelum 16 November ini.

Jelas Husam, walau apa sekali pun Pas perlu menunggu proses mahkamah, bukannya bersikap angkuh dan gopoh.

“Kenapa Pas begitu angkuh, gopoh. Kita orang mukmin kena kawal nafsu. Kalau tak dapat kawal nampaklah bodoh kita tu,” sindirnya.

Beliau turut menyindir Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang belajar di Mesir, tetapi tidak tahu undang-undang.

“Kita nak perkara ini diselesaikan melalui proses undang-undang. Pemuda Pas (Ahmad Fadhli) kena belajar undang-undang negara la sikit, jangan balik Mesir, undang-undang pun tak tahu.

“Belajar undang-undang Malaysia sikit, tunggu keputusan mahkamah,” katanya.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, beliau kesian kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakub kerana tidak dapat mengawal anak buahnya dalam mencari jalan penyelesaian bagi pertikaian Wisma Tok Guru.

Ujar beliau, dalam hal sekecil itu pun Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan gagal hendak mengendalinya, maka akan jatuhlah maruah Pas. – MalaysiaGazette