Rosyam Nor memegang watak Misbun Sidek dalam filem Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR -Pel9akon tersohor, Datuk Rosyam Nor mengakui beliau menjadi runsing sebaik sahaja bersetuju membintangi filem biografi jaguh badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bertajuk Lee Chong Wei yang bakal ditayangkan pada tahun depan.

Rosyam berkata, beliau berbangga apabila diberi kepercayaan menghidupkan watak lagenda juga jurulatih badminton, Datuk Misbun Sidek.

Namun sebagai anak seni yang sudah menceburi bidang lakonan lebih 35 tahun, beliau bimbang kerana tidak berpeluang bertemu sendiri dengan Misbun untuk mengenalinya lebih dekat sebelum penggambaran.

“Namun saya mengambil inisiatif membuat kajian sendiri mengenai Misbun menerusi internet tidak menghadapi banyak masalah sepanjang menjiwai karakter bekas pemain badminton utama negara itu kerana membesar  dan mengagumi lagenda itu sejak dari kecil lagi.

“Saya tidak berpeluang berjumpa dengan Misbun kerana waktu beliau menjawat jawatan Ketua Jurulatih Perseorang negara,

“Namun saya ada menghantar mesej menerusi WhatsApp memberitahu saya akan melakonkan watak sebagai beliau dalam filem ini. Saya anggap ia satu cabaran untuk saya mengintepretasikan seorang Misbun dari kaca mata sendiri,” katanya.

Beliau ditemui selepas sidang media filem Lee Chong di sini, semalam.

Lee Chong Wei (lima dari kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon filem Lee Chong Wei.

Rosyam memberitahu, sebagai pelakon, menjadi kebodohan jika menolak tawaran membintangi filem biografi bekas jaguh badminton nombor satu dunia itu.

Jelasnya, ia satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan menyifatkan filem itu sebagai satu naskah yang akan menjadi arkib negara yang kekal selamanya.

Selain itu katanya, filem itu juga sebuah karya yang memberi inspirasi kepada bukan saja rakyat Malaysia malah seluruh dunia kerana bakal di tayangkan di luar negara kelak,

“Filem ini bukan hanya tentang badminton tetapi ia sebuah karya yang menyuntik inspirasi dan motivasi kepada masyarakat di Malaysia malah seluruh dunia.

“Ia mengenai sillaturahim individu yang meskipun berbeza agama dan bangsa. Seorang yang bernama Misbun mencurahkan segalanya kepada seorang budak bernama Lee Chong Wei sehingga menjadikan beliau pemain nombor satu dunia. Filem ini tentang bagaimana manusia menghormati dan manusia yang memberi.

“Ini karya tentang biografi dan bukan filem fiksyen dan ia akan jadi satu sejarah sampai bila-bila. Ia akan jadi bahan arkib yang kekal. Jadi apabila pihak produksi menawarkan kepada saya, saya rasa bodoh jika saya menolak berlakon dalam filem ini,” katanya. – MalaysiaGazette