Angka kematian akibat gempa bumi di sempadan Iran dan Iraq dikatakan meningkat kepada lebih 300 orang setakat petang tadi.The Guardian

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia yang terlibat atau menjadi mangsa gempa bumi di sempadan Iran-Iraq semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan maklumat itu.

Kejadian gempa bumi berskala 7.3 Richter telah berlaku di sempadan Iran-Iraq berdekatan wilayah Kermanshah, 680 kilometer dari barat Tehran.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan berada di kawasan gempa bumi tersebut,” sebut kenyataan itu lagi.

Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam.tragedi ini.

Kementerian Luar berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan berkenaan insiden tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai insiden itu boleh mengemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia, Tehran di alamat No. 25, 2 nd Alley, North Zarafshan St.
Eyvanak Blvd., Phase 4 Shahrak Qods (Gharb) Tehran, Iran atau menerusi Telefon : (+9821) 8807 2444,(+9821) 8807 8606 serta e-mel [email protected].

Mengikut perkembangan terbaharu yang dilaporkan media antarabangsa, angka kematian terkini dilaporkan pada kadar 348 orang manakala 5,953 tercedera dan dirawat di hospital, menurut agensi berita Irna di Iran.- Malaysiagazette