Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Berhad bercakap pada program dialog TN50X : Aspirasi Belia CIMB " Menerajui Perbankan dan Memacu Sukan di Malaysia" di Menara Bumiputra Commerce, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 15 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi komitmen Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan memastikan tiada kanak-kanak termasuk yang berkelainan upaya seperti penghidap diseleksia, autisme atau ADHD ketinggalan dari sistem pendidikan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sistem pendidikan akan diperkukuhkan dan memberi peluang yang adil kepada semua kanak-kanak mengikut keupayaan masing-masing.

Ini termasuk mengubah fokus pendidikan yang hanya bertumpu kepada bidang akademik semata-mata.

“Saya adalah orang yang percaya bahawa kejayaan bukanlah hanya ada satu jalan sahaja. Ia mempunyai banyak jalan.

“Tetapi masyarakat hanya memandang kejayaan dari perspektif masuk universiti dan bergelar graduan sahaja sedangkan setiap individu berbeza.

“Memang sistem pendidikan kita mewajibkan peperiksaan dan semua pelajar perlu melalui satu standard pendidikan yang sama tetapi saya akan masukkan aspirasi ini di dalam TN50 supaya sesuatu boleh dilakukan dan kerajaan akan pastikan tiada kanak-kanak akan ketinggalan,” katanya.

Beliau memberi respon kepada seorang ibu yang mempunyai anak diseleksia berusia 16 tahun yang terpaksa menjalani sistem persekolahan seperti pelajar normal semasa majlis TN50 Aspirasi Belia CIMB di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CIMB GroupHoldings Bhd., Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Menurut Khairy, beliau memahami perasaan dan kebimbangan yang dialami wanita berkenaan kerana turut memilik anak istimewa.

“Saya menghantar anak sulung saya ke sekolah kebangsaan tetapi anak kedua saya mengalami autism dan saya akui, sistem pendidikan kita tidak begitu menyokong golongan ini.

“Saya mungkin ada kelebihan untuk menghantar anak ke sekolah swasta tetapi saya ambil maklum pandangan puan dan akan memastikan aspirasi ini terkandung dalam TN50,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy meminta syarikat korporat dan swasta untuk berhenti meletakkan harga (gaji) seseorang pekerja itu mengikut kelayakan akademik sahaja.

Katanya, ramai yang berkemahiran tinggi tetapi hanya mempunyai diploma dan dibayar mengikut sijil yang mereka ada sahaja.

“Di Institut Kemahiran Belia Nasional (IKBN) lebih 90 peratus graduan-graduan kami berjaya memasuki pasaran kerja setiap tahun sedangkan ada sesetengah fakulti di universiti, untuk mendapat 70 peratus pun susah.

“Ini menunjukkan pekerja-pekerja berkemahiran lebih mendapat tempat dalam pasaran dan mereka sepatutnya dilayan dan dibayar mengikut kemahiran yang mereka ada,” katanya.

Di majlis yang sama, CIMB Group Holdings Bhd. mengumumkan tajaan kira-kira RM25 juta sehingga RM30 juta kepada Junior Cycling Club bagi tujuan pembangunan sukan berbasikal di negara ini.

Ini bagi menjalankan program mencari bakat-bakat muda dan atlet pelapis dalam sukan berbasikal di seluruh negara.-MalaysiaGazette