Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Pengasas Kelab Warisan Wibawa, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid digesa agar berhenti daripada mengulas dan meracau dalam soal agama jika pemikirannya masih dangkal serta cetek berhubung soal hukum.

Gesaan itu dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyifatkan ulasan aktivis itu telah mendedahkan pekung didadanya, selain menonjolkan kejahilan dalam soal agama.

Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah, menutup aurat terkandung dalam al-Quran dan yang menyanggahnya bermakna menderhaka kepada Allah.

“Dia perlu segera insaf dan bertaubat. Kembalilah ke pangkal jalan, semoga Allah memberi keampunan kepadanya.

“Seorang orang Islam, kita sepatutnya menyumbang kepada kemajuan agama dan umat, keselamatan nasional dan kelangsung kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Elin Zurina pada Jumaat lalu yang dilaporkan meminta masyarakat berhenti daripada mengatakan tudung (tutup kepala) itu adalah perintah dari Tuhan.

Nik Elin Zurina turut menyenaraikan pelbagai kebaikan apabila tidak memakai tudung yang dinikmatinya, di samping mendakwa hukum aurat bagi wanita hanya di bahagian sulit sahaja, tidak sepertimana difahami oleh orang ramai.

Mengulas lanjut, Dr. Amini yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa menjelaskan, aktivis itu terkhilaf apabila meminta orang ramai merujuk Surah An-Nuur Ayat 30 hingga 31 yang dikatakan memberi mesej jelas berkenaan aurat.

Menurutnya, dalam ayat itu, Allah menjelaskan bahawa mendedahkan aurat boleh membawa kepada perkara fitnah.

“Syeikh Al-Sabuni menjelaskan dalam ayat ini, Allah perintahkan supaya ditundukkan pandangan dan memelihara kehormatan diri dengan menutup aurat seluruh badan bagi wanita kecuali muka dan telapak tangan kerana menampakkan bentuk badan dan rambut menaikkan nafsu syahwat manusia dan keinginan seksual serta perasaan.

“Ternyata Nik Elin Zurina gagal memahami maksud al-Quran, bahkan gagal memahami konteks dan latar belakang kontekstual penurunan ayat al-Quran,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Dr. Amini menggesa pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap Nik Elin Zurina atau dikaunselingkan dan disekolahkan bagi tujuan mengelak berlakunya penyelewengan lebih serius, selain menjaga hal berkaitan sensitiviti masyarakat Islam.

Kata beliau, pihak berkuasa agama perlu mencegah dan membendung gejala penyebaran ajaran sesat, memelihara akidah umat Islam, menjaga akidah Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah, menjaga pemikiran umat Islam daripada terjebak dengan fahaman seperti Islam Liberal, Pluralisme, LGBT, Syiah, Daesh dan seumpamanya. – MalaysiaGazette