Kamarulazman Habibur Rahman.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekali lagi dicabar untuk berdebat mengenai perjuangan parti serpihan itu oleh bekas pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman.

Kamarulazman menggesa supaya Mukhriz tidak menyorok dibelakang bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan perlu berani tampil berdepan bagi menyatakan tujuan sebenar tentang perjuangan dan hala tuju PPBM.

“Beliau seolah-olah menyorok di belakang bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi saya masyarakat perlu mendapat maklumat sebenar tentang perjuangan dan hala tuju PPBM dan adakah parti yang baru ditubuhkan ini menepati citarasa rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas penaja PPBM itu mahu Mukhriz mengemukakan hujah sama ada penubuhan parti itu relevan dalam membela kepentingan hak orang Melayu di Malaysia.

“Mukhriz perlu mengemukakan hujah sama ada Bersatu merupakan wadah yang relevan dengan tujuan pemantapan bangsa Melayu secara khususnya dan Malaysia secara amnya untuk mengemudi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau berkata, Mukhriz juga perlu memberitahu rakyat bahawa Bersatu mempunyai segala kekuatan dan ‘ramuan’ ditagih oleh bangsa Malaysia atau adakah perjuangan Bersatu merupakan omong kosong yang tidak berisi.

Katanya, beliau sekali lagi mencabar Mukhriz untuk berdebat dengannya pada tajuk ‘Bersatu dan politik Budaya Bangsa’.

“Saya mencadangkan agar debat ini diadakan pada 22 November 2017,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Mukhriz membawa bersama Setiausaha Agung Datuk Dr Shahruddin Md Salleh atau Ketua Penerangan Bersatu Datuk Kamarudin Mohd Noor pada debat tersebut.

“Saya sedia berseorangan dalam menegakkan hujah-hujah saya,” katanya. – MalaysiaGazette