Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu, beliau tidak bermaksud menyatakan Universiti Teknoloi Mara (UiTM) sebagai institusi pengajian tinggi yang kurang cemerlang daripada segi pelajaran.

Sebaliknya, beliau menyifatkan inti pati ucapannya telah disalah tafsir pihak tertentu sehingga membawa kepada maksud, kononnya pelajar yang perlahan atau lembab (slow learner) sahaja diambil masuk ke UiTM.

Katanya, dalam ucapan itu beliau memberi sedikit huraian sejarah mengenai bangsa Melayu, yang mana sebelum 13 Mei 1969 orang Melayu amat mundur sekali.

“Akibatnya pelajar Melayu luar bandar begitu mundur dalam pelajaran ketika itu. Ini kerana sekolah luar bandar yang serba kekurangan menyebabkan ramai anak Melayu tidak dapat masuk universiti.

“Malah awal tahun 70-an syarat masuk ke universiti diturunkan, pelajar Melayu yang memperolehi keputusan sekadar 2 prinsip dan 1 sub pun layak sambung pengajian.

“Maka kuota dilaksanakan mengguna hak keistimewaan orang Melayu di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah teruk dikecam pelbagai pihak semalam dan hari ini setelah kenyataannya berhubung pelajar ‘slow learner’ telah disalah tafsir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila pelajar Melayu yang tercicir di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diterima masuk ke Institut Teknologi Mara (ITM) sebelum dinaiktaraf kepada universiti (UiTM) dan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan, ramai daripada mereka berjaya.

“Cuba lihat ramai yang dapat kedoktoran falsafah (PhD), peringkat profesional seperti ACA, ICMA, kejuruteraan dan banyak lagi

“Malah ada pelajar Melayu dari UiTM yang popular di puncak dunia seperti dalam bidang ACA,” katanya.

Menurutnya, dalam ucapan itu juga beliau memuji kecemerlangan UiTM sekarang yang dianggap sebagai mutiara bangsa sehingga mempunyai kira-kira 600,000 alumni.

“Tahniah kepada Tan Sri Arshad Ayub, bapa UiTM. Tapi apakah UiTM dan kehebatan pelajar Melayu ini menjadi kenyataan tanpa UMNO dan Barisan Nasioal (BN).

“Hakikatnya, UMNO dan BN yang merealisasikan kebangkitan bangsa Melayu yang dulu mundur atau ‘slow’ akibat kemiskinan tegar.

“Begitu juga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menempa kejayaan luar biasa. Lupakah kepada UMNO? Inilah yang saya cuba huraikan secara spontan melalui ucapan ‘off the cuff’ yang mungkin tidak kemas penyampaiannya,” katanya.

Sehubungan itu, kata Tengku Adnan, jika ada kesilapan teknikal dari segi ucapannya yang tidak disengajakan itu, ia adalah kelemahan yang ada pada semua manusia. – MalaysiaGazette