Sehingga jam 12 tengah hari ini, semua tempat menyukat banjir termasuk Tambatan Diraja, Kota Bharu menunjukkan trend menurun, kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang masih di paras bahaya.

KUALA LUMPUR – Sehingga jam 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 13,688 orang, berbanding 13,736 orang malam tadi.

Bagaimanapun, aras air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi 1.34 meter dari paras bahaya, menyebabkan penduduk di daerah itu dalam keadaan bersiap sedia untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut laporan Info Banjir Kelantan, jajahan Pasir Mas mencatatkan mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS iaitu 9,236 orang, diikuti Tumpat (3,358), Pasir Puteh (814), Kota Bharu (133), Gua Musang (91) dan Tanah Merah 56 orang.

Semua mereka ditempatkan di 58 PPS di jajahan yang teruk dilanda banjir iaitu 36 buah di Pasir Mas, masing-masing lapan di Pasir Puteh dan Tumpat serta masing-masing dua di Kota Bharu, Gua Musang dan Tanah Merah.

Manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan pula mencatatkan aras air di Rantau Panjang dalam paras bahaya, diikuti tiga kawasan berapa pada aras berjaga-jaga, iaitu Sungai Galas di Dabong 34.52 meter (Berjaga-jaga 32 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai 21.75 meter (Berjaga-jaga 20 meter) dan Jambatan Gulllemard 13.14 meter (Berjaga-jaga 12 meter).

Sungai Golok di Kampung Jenob paras air kembali surut kepada paras normal 21.41 meter berbanding malam tadi berada pada paras berjaga-jaga 21.50 meter.

Tiga tempat menyukar banjir iaitu Sungai Lebir di Tualang, Tambatan Diraja di Kota Bharu dan Sungai Semerak di Pasir Puteh masih berada pada paras normal dan air semakin menurun. – MalaysiaGazette