Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks volum Perdagangan Borong & Runcit meningkat 7.1 peratus kepada 160.8 mata bagi bulan Oktober 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu disokong oleh peningkatan dalam perdagangan runcit (8.5%) dan perdagangan borong (7.6%).

Indeks volum pelarasan bermusim perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 1.7 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit berjumlah RM98.1 bilion (9.0%) bagi bulan Oktober 2017 berbanding tempoh yang sama tahun 2016.

Nilai jualan ini meliputi perniagaan perdagangan borong (RM48.5 bilion), perdagangan runcit (RM37.8 bilion) dan kenderaan bermotor (RM11.8 bilion).

Pertumbuhan positif ini disumbang oleh perniagaan perdagangan runcit (10.9%) dan perdagangan borong (9.5%).

Indeks volum perdagangan borong meningkat 7.6 peratus kepada 175.8 mata pada bulan Oktober 2017 berbanding Oktober 2016.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum ini (pelarasan bermusim) merekodkan pertumbuhan negatif 0.4 peratus berbanding bulan sebelum.

Nilai jualan bagi perniagaan perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan 9.5 peratus kepada RM48.5 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, perniagaan ini mencatatkan pertumbuhan negatif 1.5 peratus.

Indeks volum perdagangan runcit meningkat 8.5 peratus kepada 160.2 mata pada bulan Oktober 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Berbanding dengan bulan September 2017, indeks volum pelarasan bermusim Perdagangan Runcit meningkat sebanyak 2.4 peratus.

Perniagaan perdagangan runcit merekodkan peningkatan nilai jualan kepada RM37.8 bilion atau 10.9 peratus berbanding setahun yang lalu. Bulan ke bulan, nilai jualan perniagaan ini meningkat 1.5 peratus.

Perbandingan tahun ke tahun, indeks volum kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan positif 0.1 peratus kepada 123.2 mata pada bulan Oktober 2017.

Indeks volum pelarasan bermusim Kenderaan Bermotor meningkat 5.7 peratus pada bulan Oktober 2017 berbanding bulan September 2017.

Pada bulan ini, nilai jualan bagi perniagaan Kenderaan Bermotor meningkat 1.3 peratus kepada RM11.8 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Nilai jualan perniagaan kenderaan bermotor meningkat 4.5 peratus berbanding bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette