Mohd Faizal Sinorcho, 31, atau lebih dikenali sebagai 'Sarjan Faiz' membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.
RAUB – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara selama 66 bulan dan lima kali sebatan setelah mengaku bersalah atas lima pertuduhan termasuk menyamar sebagai anggota polis, dalam dua kes berasingan pada akhir tahun lepas dan 2016.

Mohd Faizal Sinorcho, 31, atau lebih dikenali sebagai ‘Sarjan Faiz’ membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa melarikan orang, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 17, dengan niat mengurungnya secara sulit dan salah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyamar sebagai seorang anggotapolis berpangkat sarjan sedangkan dia mengetahui dia tidak memegang jawatan itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, di sini pada kira-kira 11 pagi, 27 Dis tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Sesyen 365 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun serta denda.

Untuk kesalahan kedua, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 170 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan ketiga, Mohd Faizal yang tidak diwakili peguam turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berjenama STI tanpa permit pada 12 tengah hari, hari yang sama berhampiran sebuah kedai motosikal di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) memiliki senjata api tiruan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam satu kes berasingan, Mohd Faizal didakwa di bawah dua pertuduhan menipu serta memperdaya seorang warga emas Fatimah Sulaiman, 64, dengan menyamar sebagai Insp Khuzairi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah meminta mangsa menyerahkan wang sejumlah RM500 dengan memasukkannya dalam akaun V. Aravintan jika tidak mahu kertas siasatan dibuka terhadap seorang anaknya berhubung kesalahan penyalahgunaan dadah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 6.30 petang, 9 Dis 2016, di tempat yang tidak dinyatakan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan 170 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pegawai Pendakwa Mohd Faizal Shamsir kemudian memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kes itu mendapat perhatian umum.

Majistret kemudian memerintahkan agar tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 48 bulan untuk tiga pertuduhan bagi kes pertama, bermula tarikh tangkap pada 6 Jan lepas.

Bagi dua pertuduhan kes kedua pula, mahkamah mengarahkan agar tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara untuk kes pertama dan lima kali sebatan.

— BERNAMA