Nur Sajat . foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil menjelaskan pihaknya kini dalam proses untuk mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd. Izwan Md. Yusof berkata, perkembangan terkini itu bagi menjawab persoalan masyarakat susulan pertemuan bersama Sajat dan ibu bapa usahawan itu.

Beliau berkata, Jakim bersetuju terhadap beberapa proses yang perlu dilalui Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi.

“Proses ini akan mengambil masa panjang kerana ia melibatkan banyak pihak.

“Dijangkakan dalam tempoh sebulan paling minimum,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Mohd. Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata, keputusan tersebut hanya akan diumumkan selepas segala proses itu selesai.

Pada masa sama katanya, ia juga perlu disahkan oleh sekumpulan panel Pakar Kajian Syariah yang diurusetiakan Jakim.

Dalam pada itu, Mohd. Izwan berkata, Jakim menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan menerusi sebuah video yang menuduh Jakim menelefon seorang individu dan memaklumkan jantina Sajat.

Selasa lalu, Jakim menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar Sajat selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik itu di Wisma Nur Sajat di Shah Alam.

Difahamkan, hajat Jakim mengadakan pertemuan dengan Sajat ekoran cemuhan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti Sajat. – MalaysiaGazette

Comments are closed.