Pelakon, Datuk Farid Kamil pada sidang media pada sidang akhbar di The Loft Event Space, Setia Alam. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2018.

SHAH ALAM – Pelakon, Datuk Farid Kamil mendedahkan dirinya diberi dadah dalam bentuk semburan yang dimasukkan dalam minuman sehingga menyebabkan dirinya lupa ingatan.

Farid, 36, memberitahu, dadah tersebut sangat merbahaya kerana pihak polis juga sukar untuk mengenalpasti jenisnya dan kini semakin popular di pasaran.

Jelas pelakon drama Lafazkan Kalimah Cinta itu, insiden itu berlaku malam sebelum kejadian beliau ‘mengamuk’ di balai polis selepas bertemu dengan dua individu.

“Mereka ini masih bebas kerana dua individu yang dipanggil sebelum ini iaitu Taj dan Osh bukan orang yang saya namakan dalam laporan polis.

“Seorang adalah penyanyi dan seorang lagi merupakan pengurus penyanyi di mana saya sudah lama tidak berjumpa mereka.

“Dalam pertemuan itu, mereka mengaku sebagai Kerabat Kedah dan Kerabat Johor dan mengajak bertemu untuk berbincang benda yang serius.

“Saya ibaratkan ini adalah komplot untuk menjatuhkan saya kerana saya pernah menerima ugutan pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Setia Alam dekat sini bagi menjawab kontroversi yang melanda dirinya bulan lalu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle mendakwa dipukul semasa dalam sel lokap sehingga menyebabkan dahinya berdarah.

Pelakon, Datuk Farid Kamil menunjukkan parut pada mukanya pada sidang akhbar di The Loft Event Space, Setia Alam. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2018.

Jelas Farid, kejadian berlaku pada malam ketiga dalam lokap kira-kira pukul 2 pagi apabila lampu sel lokap ditutup tiba-tiba.

“Saya terdengar derapan kasut ketika itu dan apabila lampu dibuka balik, saya nampak 11 orang di depan saya dan ada yang memegang lampu suluh.

“Saya juga dipakaikan baju khas untuk sukar bergerak dan lampu ditutup semula sebelum  saya hanya sedar dahi saya sudah berdarah hingga meninggalkan parut hingga sekarang,” katanya yang mengakui sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Farid menegaskan, kes yang dialaminya itu tiada kaitan dengan masalah rumahtangga malah beliau hidup bahagia kerana Diana sentiasa menyokongnya selama ini ketika susah dan senang.

Mengenai gelaran darjah kebesaran yang diterimanya, Farid belum menerima apa jua makluman dari Istana Pahang sebelum mengambil apa-apa tindakan sama ada memulangkannya atau tidak.

Pada 4 Februari lalu, Farid membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga berkelakuan ganas di balai polis bulan lalu.

Dalam satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Januari 2018, Farid juga menuduh berlaku kekerasan ke atasnya oleh pihak polis semasa ditahan reman.

Sebelum itu, pada 25 Januari lalu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret atas dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan selepas.

Pada 18 Januari lalu pula, beliau didakwa di mahkamah sama  atas tuduhan mencederakan anggota polis dan orang awam. – MalaysiaGazette